Kuantan: Seorang pekerja kilang roti di Sungai Isap Jaya, di sini, dipukul sebelum diikat dan dikurung lima jam dalam stor premis berkenaan oleh tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa 40 tahun itu dikejutkan tiga penyamun terbabit ketika sedang tidur dalam sebuah bilik di kilang itu.

Beliau berkata, mengikut keterangan mangsa, dia dikejutkan oleh seorang suspek yang memegang parang sambil mengacukan senjata itu ke arahnya.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek arah mangsa supaya diam sebelum mengikat dan mengurungya di dalam stor kilang itu,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata, suspek kemudiannya menggeledah kilang berkenaan dan mengambil RM1,000 tunai sebelum melarikan diri.

Katanya, lima jam kemudian, mangsa yang cedera ringan, menerima bantuan rakan sekerja yang tiba untuk memulakan syif pagi dan memaklumkan kejadian kepada majikannya sebelum mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 10:55 PM