WAJAH Noppajit (kiri) sebelum menjalani pembedahan dan wajah terbaru lelaki itu (kanan). FOTO Agensi
WAJAH Noppajit (kiri) sebelum menjalani pembedahan dan wajah terbaru lelaki itu (kanan). FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang pemuda yang sering dihina dan dipinggirkan sejak kecil kerana kecacatan pada mukanya kini mendapat kehidupan baru selepas menjalani satu pembedahan plastik.

Noppajit Monlin, 22, mengalami masalah rahang berpintal yang menyebabkan dia tidak boleh mengunyah dan mengakibatkan mukanya senget.

Kecacatan itu menyebabkan dia sering diejek ketika kecil dan mengasingkan diri ketika waktu makan tengah hari di tempat kerja di sebuah kilang di Thailand.

Bagaimanapun, kehidupan Noppajit berubah selepas menyertai program televisyen Let Me In Thailand dan menjalani satu pembedahan plastik.

Noppajit menjalani pembedahan untuk membetulkan rahang, dahi dan kelopak mata serta suntikan pada kelenjar air liur bagi membetulkan pengeluaran air liur berlebihan.

IBU Noppajit menangis ketika kali pertama bertemu Noppajit selepas dia menjalani pembedahan plastik. FOTO Agensi
IBU Noppajit menangis ketika kali pertama bertemu Noppajit selepas dia menjalani pembedahan plastik. FOTO Agensi

Lelaki itu juga menjalani rawatan kulit untuk merawat masalah jerawat yang dialaminya.

Selepas menjalani semua prosedur berkenaan, Noppajit buat pertama kalinya bertemu ibunya yang terkejut melihat perubahan besar pada anaknya.

Dalam satu episod program itu yang disiarkan baru-baru ini, ibu Noppajit tidak menyedari pemuda tampan yang menghampirinya adalah anaknya sendiri.

“Adakah ini benar-benar kamu? Adakah ini kamu?” kata wanita itu sambil mengalirkan air mata.

Noppajit berkata, sebelum ini masyarakat tidak menerimanya dan mengejeknya kerana wajahnya yang cacat itu.

“Kini saya individu yang berlainan dan saya lebih yakin dengan diri saya. Saya juga mempunyai ramai kawan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 5:39 AM