BING dan ibunya (kanan).
BING dan ibunya (kanan).

Beijing: Seorang ibu meminta media membantu menghentikan ketagihan anak perempuannya terhadap pembedahan plastik.

Malah, wanita berusia 61 tahun itu mengancam mahu menyingkirkan anaknya itu jika dia enggan berhenti melakukan pembedahan.

Ancaman itu dibuat ketika mereka muncul dalam rancangan sembang yang disiarkan stesen televisyen Dragon TV.

Si ibu memberitahu anaknya yang sudah membelanjakan 800,000 yuan (RM320,000) untuk melakukan 20 pembedahan plastik dalam masa dua tahun, dia kecewa melihat wajah anaknya sentiasa berubah.

“Setiap kali melihatnya, wajahnya berubah sehingga ada satu ketika saya tidak mengenalinya walaupun saya ibunya.

“Kini, muka dia lain sama sekali. Semua ibu saudaranya berkata, dia kini kelihatan seperti raksasa. Itu yang membuat saya bimbang dan malu,” kata wanita itu kepada penonton.

Si anak, Yu Bing, 29, pengusaha perniagaan pakaian bersama beberapa rakannya, mengaku dia terlalu ingin kelihatan seperti Bingbing, superstar China yang terkenal kerana kecantikannya.

Menurut Yu, dia menjalani pembedahan membetulkan rahang, hidung dan bahagian mata, tetapi masih belum berpuas hati dengan penampilannya.

Apabila ditanya mengenai pembedahan yang akan dilakukan tahun ini, Bing berkata, dia merancang untuk ‘lebih tinggi’ dengan menjalani pembedahan yang menyaksikan doktor memasukkan implan pada tulang keringnya supaya dia lebih tinggi beberapa sentimeter. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:36 AM