MIRA Filzah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
MIRA Filzah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


Hampir lima tahun aktif dalam karier seni, rezeki pengacara dan pelakon jelita, Mira Filzah, 24, sangat murah.

Tidak hairanlah agak sukar untuk mendapatkan ruang mengadakan sesi fotografi bersamanya.

Muncul pada majlis Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) baru-baru ini, Mira menjadi tumpuan.

Namun, tatkala berbicara soal karier seni, Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman mengatakan dia tidak mengambil tawaran berlakon drama sekarang.

Katanya, bukan disebabkan bersikap ‘demand’ cuma dia nekad mahu memberi fokus kepada persediaan filem pertama lakonannya.

“Saya sepatutnya masuk set penggambaran filem itu pada Oktober lalu tetapi atas sebab-sebab tertentu, ia ditangguhkan.

“Jika tiada aral saya dimaklumkan jadual penggambaran filem akan bermula penghujung Disember ini.

“Saya kini sangat sibuk dengan latihan lakonan. Ia sebagai persediaan terbabit secara serius untuk filem itu,” katanya.

Bagi melancarkan segala urusan kerjanya untuk filem, dia membuat keputusan tidak ambil tawaran berlakon drama.

“Ini pembabitan julung kali saya di layar perak dan saya mahu memberi keutamaan kepada filem ini.

“Apatah lagi menjadi impian saya semoga filem pertama ini akan berjaya dan saya perlu bersedia sebaik mungkin,” katanya.

Selain berlakon filem, Mira juga akan muncul mengacarakan satu program baru di TV3.

Bagaimanapun, Mira merahsiakan dulu program itu kerana menghormati stesen TV yang akan mengadakan sidang media.

Katanya, penggambaran untuk program berkenaan akan bermula Disember.

“Nampaknya, jadual kerja saya penghujung 2017 agak padat tetapi saya bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

“Selain persediaan berlakon filem, saya juga teruja untuk menggalas tanggungjawab mengacarakan program di TV3.

“Ini kerana dengan mengacarakan program itu penonton terutama peminat saya akan dapat menyaksikan kemunculan saya di TV setiap minggu,” katanya.

Apa pun, Mira kini turut aktif dengan aktiviti pelancongan kerana terbabit dalam penyediaan kandungan digital dan pemasaran untuk kempen serta sebagai duta produk.

Katanya, sejak Oktober lalu dia sibuk melancong ke luar negara seperti Hong Kong dan bulan ini akan ke Jepun manakala Disember ke Dubai.

“Tidak dinafikan komitmen kerja saya agak sibuk dan sememangnya jadual perlu diatur sebaik mungkin,” katanya.

Mira yang dikecam netizen gara-gara pakaian digayakannya ketika menghadiri majlis ASK 2017 lalu bagaimanapun berkata mereka yang aktif menggunakan media sosial perlu berhati-hati dalam setiap komen ditulis.

Menurutnya, kalau boleh dan sebaiknya kurangkanlah unsur kecaman kepada selebriti sebaliknya lebihkan berkongsi komen atau pandangan.

“Aktif di laman sosial itu tidak salah tetapi apabila lantang sangat bersuara dalam menulis komen adalah sebaiknya berhati-hati.

“Jika tidak berhati-hati dibimbangi kita terlepas pandang sama ada apa yang dilakukan dan komen ditulis itu betul atau tidak.

“Bagi saya, sebaiknya golongan netizen ini selidik betul-betul terlebih dahulu sebelum bertindak mengecam,” katanya.

Mira berkata, komen ditulis berbaur kecaman sebenarnya menjurus kepada perkara kurang baik.

Jadi, sebaik-baiknya selidik dahulu sama ada perkara itu betul atau tidak sebelum kecam.

“Sebagai selebriti, saya juga aktif di laman sosial. Saya tetap berhati-hati dalam memberi komen dan pendapat.

“Saya tidak mahu mengumpul ‘dosa percuma’. Justeru, setiap perkataan ditulis itu haruslah baik dan positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 4:05 AM