Abdul Wahap  menunjukkan sebahagian daripada koleksi piring hitam miliknya.
Abdul Wahap menunjukkan sebahagian daripada koleksi piring hitam miliknya.
 Abdul Wahap turut memiliki pemain piring hitam.
Abdul Wahap turut memiliki pemain piring hitam.
Rodly Fadly


Gombak: Minatnya yang mendalam terhadap lagu retro mencetuskan idea kepada Abdul Wahap Abu Noor, 63, mengumpul piring hitam lama dari era 1960-an hingga 1980-an.

Memulakan hobi itu sejak 1970-an, Abdul Wahap kini memiliki lebih 200 koleksi piring hitam berbentuk LP dan EP yang mencakupi lagu Melayu, Inggeris dan Hindustan dengan 70 peratus koleksi album Pop Yeh Yeh.

Sebut saja siapa penyanyi era 1960-an sama ada yang popular seperti A Ramlie, Datuk Jefrydin, A Halim, M Osman, Datuk A Rahman Hassan, Datin Rafeah Buang, Sanisah Huri atau penyanyi yang sekadar ‘suam-suam kuku’, Abdul Wahap pasti memiliki piring hitam mereka.

Tidak terkecuali piring hitam yang dihasilkan penyanyi Indonesia seperti D’Lyod, The Mercy, Brorey Marantika, S Effendi, Tatty Kadir, Emilia Contessa dan Eddy Silitongga.

Dia juga memiliki piring hitam penyanyi era 1970-an dan 1980-an seperti Hail Amir, Uji Rashid, Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sudirman Haji Arshad serta kumpulan seperti Black Dog Bone, Alleycats, Carefree dan Sweet September.

Melengkapkan koleksi Abdul Wahap adalah album artis Barat seperti Bee Gees, Boney M dan The Beatles serta penyanyi Jose Feliciano, juga piring hitam lagu Hindustan yang diangkat daripada filem box office Bollywood seperti Bobby, Yaadon Ki Baraat, Kabhie Kabhie serta banyak lagi.

Menurut pesara polis itu, idea mengumpul piring hitam tercetus ekoran kegilaannya terhadap lagu serta penyanyi zaman Pop Yeh Yeh yang mencetuskan fenomena pada 1960-an hingga 1970-an.

“Ketika demam Pop Yeh Yeh melanda negara, saya meniti zaman remaja. Oleh itu, secara tidak langsung, ia memberi pengaruh besar kepada diri saya.

“Apatah lagi ketika itu sumber hiburan tidak banyak seperti sekarang. Jadi, kemunculan Pop Yeh Yeh yang menampilkan aliran muzik baru mencetuskan fenomena sangat luar biasa.

“Kebetulan pula keluarga saya berjiran dengan penyanyi Helen Velu di Bukit Cina, Melaka, jadi saya kerap bertemu A Ramlie, Datuk Ahmad Jais, Jaafar O dan ramai lagi yang sering bertandang ke rumah Helen.

“Ini membolehkan saya mendekati serta mengenali mereka dengan lebih dekat, secara tidak langsung menambahkan lagi minat saya terhadap Pop Yeh Yeh,” katanya di rumahnya di Taman Seri Gombak di sini.

Sebagai peminat tegar, Abdul Wahap memastikan dia memiliki semua album Pop Yeh Yeh yang dihasilkan penyanyi zaman itu.

“Saya membeli piring hitam original (tulen) walaupun ketika itu album tiruan atau sekarang disebut cetak rompak sudah ada. Ini kerana saya ingin mendengarnya berulang kali, jika saya beli yang tiruan, ia cepat rosak.

“Oleh sebab ia original, saya akan menyimpannya dengan baik dan sayang membuang atau memberikan kepada orang lain. Lama-kelamaan, ia semakin banyak sehingga mencetuskan idea untuk menjadikan ia koleksi,” katanya.

Menurut Abdul Wahap, minatnya mengumpul piring hitam lama mendapat sokongan keluarga serta sahabat handai yang turut membantu melengkapkan koleksinya.

“Ada saudara-mara dan kawan yang tahu minat saya, mereka memberikan piring hitam yang mereka miliki kepada saya, kebanyakannya secara percuma,” katanya.

Abdul Wahap mendedahkan, dia menghentikan koleksinya setakat 1980-an kerana aliran muzik selepas era berkenaan seperti rock dan rap tidak menepati cita rasanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:28 AM