Mungkin Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mawi adalah penyanyi ‘terakhir’ yang mencipta fenomena luar biasa di sini.
Mungkin Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mawi adalah penyanyi ‘terakhir’ yang mencipta fenomena luar biasa di sini.
Riadz Radzi


Muzik apa paling popular di Malaysia ketika ini?

Ya, memang banyak muzik yang popular dalam kalangan peminat tempatan ketika ini. Malah, ramai penyanyi popular memiliki kelompok peminat sendiri.

Namun, masih adakah muzik di negara ini yang boleh mencetus fenomena? Bukan setakat populariti lagu, album dan penyanyinya, tetapi mampu menjadi trend setter dari segi budaya, pemikiran dan fesyen.

Jawapannya tidak ada. Namun, ia pernah berlaku satu ketika dulu.

Pada 1964, Allahyarham M Osman merakamkan lagu Suzana yang seterusnya menjadi perintis kepada kemunculan irama pop yeh yeh.

Pop yeh yeh yang inspirasinya diambil daripada lirik lagu She Loves You oleh The Beatles iaitu 'she loves you...yeh...yeh...yeh' mencetus fenomena dalam kalangan anak muda ketika itu.

Sehingga 1975, fenomena pop yeh yeh dengan fesyen berseluar yankee, baju ketat dan motosikal Vespa menjadi kegilaan ketika itu.

Ini termasuk kemunculan penyanyi dan kumpulan dengan pengaruh The Beatles seperti A Romzi & The Hook, Kassim Selamat & The Swallows, A Ramlie & The Rhythm Boys, Jefri Din & The Siglap Five, Eddie Ahmad & The Antartic, A Rahman Hassan & Orkes Nirwana, S Jibeng, L Ramlee, A Rahman Onn, A Halim dan banyak lagi.

Pada era 1970-an juga industri muzik Malaysia dan Singapura mula dibanjiri muzik pop, disko, dangdut Indonesia serta rock dan blues dari Britain.

Ia juga datang dengan imej rambut panjang, afro, seluar bell bottom, kasut platform dan rantai berloket taring.

Penyanyi dan kumpulan muzik Indonesia banyak mempengaruhi industri muzik negara ini seperti Broery Marantika, Emilia Contessa, D'Lloyd, Bob Tutupoly, Favourite Group, Tiar Ramon dan banyak lagi.

Ini termasuk artis Barat seperti Bee Gees, Earth, Wind & Fire, Commodores, Boney M, Donna Summer, ABBA serta band rock seperti Led Zeppelin, Deep Purple, Black Sabbath, Pink Floyd, Grand Funk Railroad, Yes, James Gang dan banyak lagi.

Seterusnya paling meriah tentunya pada era 1980-an. Muzik rock yang sudah bertapak sejak 1970-an tiba-tiba meledak pada pertengahan 1980-an.

Rock bukan saja datang sebagai muzik, tetapi budaya dan fesyen yang cukup kuat. Waktu itu sukar untuk mencari anak muda (Melayu terutamanya) yang tidak meminati rock. Semuanya menggilai muzik rock!

Rock juga datang dengan kontroversi. Ia kerap dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah dan gaya hidup bebas walaupun tidak semua mengamalkannya.

Malah, rock pernah diharamkan kerajaan pada 1986 dan penyanyi dan band rock tidak dibenarkan muncul di kaca TV dan mengadakan konsert. Malah, lagu mereka juga diharamkan di stesen radio yang ketika itu dimonopoli RTM.

Populariti muzik rap, kemunculan Zainal Abidin dengan lagu Hijau dan gubahan muzik terkini dan segar daripada artis Roslan Aziz Productions (RAP) kemudian mewarnai era 1990-an, namun tiga era yang disebutkan di atas adalah paling meriah dalam sejarah muzik tanah air.

Industri muzik tanah air turut diwarnai dengan muzik berkualiti daripada artis syarikat rakaman Positive Tone seperti Innuendo, OAG, Poetic Ammo, Too Phat dan Ferhad pada pertengahan 1990-an selain 'ditakluki' Indonesia seperti Dewa 19, Sheila On 7, Slank, Padi, Gigi, Peterpan dan Ungu selepas itu.

Kemeriahan sebelum ini seperti tidak ada dalam industri muzik hari ini. Bukan tidak ada penyanyi dan band berkualiti tetapi 'kesan'nya tidak ada.

Kita ada Aina Abdul, Khai Bahar, Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel, Aizat Amdan, Faizal Tahir, Haqiem Rusli, Wany Hasrita, K-Clique, Yonnyboii, WA.R.I.S, Stacy, Akim Ahmad, Hafiz Suip dan ramai lagi. Semuanya memiliki kualiti vokal yang padu dan lagu menyedapkan halwa telinga.

Ya, semuanya popular tetapi agak sukar untuk menjadi evergreen. Mungkin Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mawi adalah penyanyi 'terakhir' yang mencipta fenomena luar biasa di sini.

Kita juga ada band-band berkualiti seperti Bunkface, Hujan, Drama Band, Kristal, Floor 88, Margasatwa, Pitahati, Kugiran Masdo, Loko, Ramayan dan banyak lagi, tapi belum mampu meninggalkan legasi seperti Search dan Wings.

Penyanyi legenda, Zainal Abidin pula dalam satu temu bual menyifatkan industri muzik tempatan semakin mundur.

Katanya, muzik di Malaysia semakin hilang seni dan apa yang tinggal sekadar bunyi apabila sesiapa saja yang memiliki wang dan kuasa boleh bergelar penyanyi.

Jadi, tidak hairan lagu pada era ini jarang bertahan menjadi lagu evergreen.

Apa yang dikatakan Zainal ada pro dan kontranya. Saya tidak nampak muzik di Malaysia makin mundur, cuma lagu-lagu yang dihasilkan tidak lagi memberi impak besar atau boleh menjadi evergreen.

Entah di mana silapnya, mungkin senario penyanyi atau band tidak lagi menghasilkan album penuh dan mengadakan konsert jelajah membuatkan kemeriahannya tidak lagi dirasai.

Ataupun peminat tidak lagi menganggap artis itu 'barang eksklusif' kerana situasi hari ini membolehkan mereka berinteraksi secara terus dengan artis di media sosial.

Jadi, mereka tidak 'hairan' lagi dengan artis dan hanya menganggapnya sebagai orang biasa. Mungkin inilah yang membawa kepada persoalan di atas tadi.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:15 AM