Datuk Jeffrydin.
Datuk Jeffrydin.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya tak pernah bersara," kata penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin, 74, ketika ditanya mengenai kerjaya nyanyiannya sejak 1960-an hingga ke hari ini.

Jeffrydin berkata, dia akan terus menyanyi selagi diizinkan Allah.

Jeffrydin atau nama sebenarnya Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman berkata, dia juga merancang untuk menghasilkan single baru tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

Walaupun sudah berusia 74 tahun, kesihatan penyanyi pop yeh yeh ini masih dalam keadaan baik menerusi beberapa amalan pemakanan dan penjagaan kesihatan.

"Kalau dulu, balik lewat macam mana sekali pun saya akan bangun awal pagi. Selepas Subuh, saya akan bersenam dan banyakkan minum air putih.

"Selain air putih, saya minum juga kopi dan teh herba serta makanan yang isteri sediakan. Saya tak ambil minuman sejuk dan berais. Selain itu, saya juga kurangkan pengambilan makanan seperti mi kuning dan daging merah," katanya.

Jeffrydin antara penyanyi pop yeh yeh paling dikenali di Malaysia dan Singapura dengan lagu popular seperti Kenanganku dan Mas Mona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 1:46 PM