NOZULA meneliti tomato  dihasilkan peserta TKPM Lojing.
NOZULA meneliti tomato dihasilkan peserta TKPM Lojing.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Sepuluh peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing membuktikan penanaman tomato yang diusahakan sejak 20 tahun lalu mampu memberi pulangan lumayan sekali gus bergelar jutawan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Operasi Mohd Anis Mohd Yasin berkata, keupayaan peserta menghasilkan tomato berkualiti tinggi dan bertaraf dunia membolehkan hasil pertanian itu bukan saja dipasarkan di negara ini, malah dieksport ke luar negara.

Katanya, kini pendapatan setiap peserta TKPM Lojing mencecah sehingga lebih RM2 juta setahun dengan purata pendapatan RM8,000 sebulan.

“Peserta TKPM menerima kontrak jualan dengan FAMA dua tahun sekali hingga ia boleh dieksport ke negara Asia Barat khususnya Dubai, serta Singapura. Malah permintaannya sentiasa meningkat berikutan kualiti buah yang terbaik.

“Kita dimaklumkan setiap peserta TKPM Lojing memperoleh hasil pendapatan lebih RM2 juta setahun dengan purata pendapatan
RM8,000 sebulan.

“Tahun lalu saja 10 peserta terbabit memperolehi RM2.578 juta selepas berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 1,230 tan metrik,” katanya kepada pemberita selepas Menandatangani Perjanjian Jual Beli Hasil Pertanian antara FAMA dengan Usahawantani TKPM Jabatan Pertanian Lojing, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah.

Menurutnya, peserta TKPM Lojing memperoleh kontrak jualan hasil dengan FAMA dan harganya juga bergantung kepada harga pasaran semasa.

“Bagaimanapun, sekiranya harga tomato itu jatuh secara mendadak, kami akan membeli pada harga yang masih boleh memberi keuntungan kepada petani,” katanya.

Mohd Anis berkata, sehubungan itu, usahawan Bumiputera digesa merebut peluang dalam bidang pertanian kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.

“Kita perlu tahu, negara mengimport hasil pertanian dari luar negara sebanyak RM47 bilion. Jumlah itu termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan berjumlah RM9 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 6:18 AM