AHMAD Zaki menunjukkan ladang mangga.
AHMAD Zaki menunjukkan ladang mangga.
AHMAD Zaki memantau pekerja memunggah buah yang dituai.
AHMAD Zaki memantau pekerja memunggah buah yang dituai.
WARNA dan kemanisan Chokanan pasti memikat selera pengemar mangga.
WARNA dan kemanisan Chokanan pasti memikat selera pengemar mangga.
Noor Hidayah Tanzizi

Mangga Chokanan atau Magnifera indica antara variasi mangga yang menjadi kegemaran penduduk Malaysia.

Biarpun namanya tidak sepopular harumanis yang menjadi kebanggaan Perlis, buah mangga itu ada kelebihan tersendiri.

Chokanan sesuai ditanam di kawasan bercuaca panas kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua minggu untuk proses menggalakkan pengeluaran bunga sebelum berbuah.

Ia boleh ditanam di tanah bekas sawah atau tanah gambut serta tanaman berpotensi tinggi untuk memberi pendapatan lumayan.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Pertanian Negeri Perak menerusi Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) memberi peluang kepada 11 peserta mengusahakan tanaman mangga Chokanan seluas 80 hektar di Ladang Mangga Chokanan Pusat Latihan Pertanian Lekir, Batu 9, Lekir, Sitiawan.

Mukim Lekir boleh dianggap pelopor tanaman mangga Chokanan kerana sering menjadi sebutan ramai apabila nama buah itu disebut.

Menjadikannya sebagai satu cabang pendapatan selain minat dalam bidang pertanian menyebabkan Ahmad Zaki Othman, 51, merebut peluang itu dengan mengusahakan tanaman berkenaan sejak 13 tahun lalu.

Sehingga kini, dia memiliki ladang seluas 9.6 hektar dan sebanyak 2,300 pokok sudah mengeluarkan hasil selepas dua atau tiga tahun ditanam.

Menurutnya, Lekir adalah kawasan tanah gambut berpasir dan cuacanya sesuai untuk tanaman itu hidup subur dan mengeluarkan hasil.

Katanya, tanaman itu memerlukan cuaca panas, namun jika terlalu panas bunga dan buah boleh gugur.

“Pokok perlu sentiasa dipangkas mengikut waktu ditetapkan terutama selepas tamat musim buah supaya tidak terlalu tinggi dan dapat menghasilkan buah yang banyak.

“Hasil boleh dituai dua kali setahun dalam tempoh yang agak panjang iaitu dari Mac hingga Julai dan Oktober hingga Februari. Pada setiap musim, pengeluaran boleh mencecah 80 tan,” katanya.

Ahmad Zaki memasarkan mangganya di beberapa negeri dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain menjual sendiri.

“Saya tanam empat jenis Chokanan iaitu Gred A, B, C dan D. Setiap gred berbeza harga mengikut saiz, kulit, berat dan rasa bermula daripada RM2 hingga RM6 sekilogram.

“Gred B dan C mendapat permintaan tinggi kerana buahnya lebih sedap dan manis selain harganya juga murah.

“Selain enak dimakan segar, saya turut memperkenalkan produk berasaskan mangga yang dijadikan jus, kordial dan merancang menghasilkan kerepek mangga Chokanan selepas ini,” katanya.

Seorang lagi pengusaha mangga Chokanan, Zulkifli Zakaria, 40, berkata, kelebihan mangga itu ialah pada rasanya yang manis selain berbau harum sehingga boleh memikat sesiapa saja.

“Mereka yang pernah merasai mangga ini pasti tahu kemanisannya dan ada sesetengah penggemar mendakwa mangga ini lebih sedap daripada Harumanis, namun itu semua mengikut cita rasa dan selera masing-masing.

“Biarpun begitu, mangga ini tidak terlalu dipromosikan seperti Harumanis, malah ada segelintir penduduk daerah ini sendiri tidak pernah merasai mangga Chokanan keluaran Lekir sedangkan sebut sahaja Lekir, ramai akan kaitkan dengan mangga Chokanan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah merangkap Penyelia Projek Karri Qisti berkata, sehingga kini TKPM sudah melahirkan 24 peserta dalam empat komponen iaitu mangga, tembikai, sayuran dan fertigasi (rock melon dan cili) dengan keluasan ladang 150 hektar.

Menurutnya, pihaknya bersama Pejabat Pertanian Daerah Manjung menerusi Pegawai Pertanian Daerah Manjung Khairul Nizam Yeop Ismail sebagai penyelaras utama di daerah ini mahu memperkenalkan mangga itu kepada orang ramai serta menjadikan Lekir terkenal dengan mangga Chokanan.

“Di TKPM Lekir, mangga Chokanan komponen utama kami. Ia sudah dipasarkan ke beberapa negeri seperti Terengganu dan Selangor serta konsisten dengan hasil berkualiti dan selamat dimakan. Malah, kami juga memperolehi pengiktirafan daripada Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

“Kami berhasrat memperkenalkan mangga Chokanan keluaran Lekir ke seluruh negara dan pastinya ke peringkat lebih tinggi selain menjadi ikon buah-buahan di Perak sama seperti limau bali Tambun dan durian Batu Kurau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 11:15 AM