ALI Mazat meninjau keadaan parit berdekatan kilang memproses baja najis ayam di Kampung Murni Jaya, semalam.
ALI Mazat meninjau keadaan parit berdekatan kilang memproses baja najis ayam di Kampung Murni Jaya, semalam.
Mohd Sabran Md Sani dan Halim Said


Kulai: Isu pencemaran bau dan sungai berpunca dari ladang ternakan ayam dan kilang memproses baja najis haiwan bukan pertama kali berlaku, malah ia sering kali menghantui kehidupan penduduk sekitar terutama di Kampung Murni Jaya sejak tiga tahun lalu.

Biarpun ada di antara ladang ternakan ayam itu sudah menjangkau usia belasan tahun, = kewujudan kilang memproses baja najis ayam itu mengakibatkan kualiti kehidupan penduduk terjejas kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

Penduduk mendakwa, memburukkan keadaan apabila hujan lebat kerana ia mengakibatkan kolam takungan bagi pemprosesan najis haiwan di kilang itu melimpah ke parit sebelum ia mengalir ke Sungai Sayong.

Difahamkan terdapat empat ladang ternakan ayam dengan satu daripadanya turut mempunyai kilang memproses baja najis haiwan berkenaan dan menjadi punca pencemaran ammonia hingga menjejaskan tiga Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini Jumaat lalu sehingga mengakibatkan lebih dua juta penduduk di negeri ini turut terjejas.

LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan Tai Hong terpaksa dihentikan operasi berikutan pencemaran ammonia berpunca dari ladang ayam dan kilang memproses baja najis ayam di Layang-Layang, Kluang.

Selain itu, dua dari kilang ayam berkenaan juga berpotensi mengakibatkan pencemaran kepada Sungai Besui kerana kedudukannya berhampiran dengan kawasan yang mengalirkan air terus ke Sungai Renggam.

Penduduk, Esmadi Hamidi, 35, berkata, penduduk sudah lali dengan bau najis ayam dan kehidupan harian terganggu sepanjang musim hujan, selain masalah lalat ketika musim panas.

“Setiap hari, bau najis ayam menghantui kehidupan kami. Sebelum ini, ia sekadar bau najis tetapi keadaannya lebih teruk sejak akhir-akhir ini terutama dengan pencemaran ammonia,” katanya.

Dia yang juga pengurus acara berkata, kedudukan rumahnya hanya kira-kira 200 meter dari kilang berkenaan.

“Saya cadangkan kolam pemprosesan najis haiwan itu ditutup atau diperbesar selain didalamkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Ia penting memandangkan kedudukan kilang sebaris dengan ladang kelapa sawit, jika dibiarkan tidak mustahil tiga LRA berkenaan terpaksa ditutup,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai Ali Mazat Salleh berkata, pihaknya berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS), kerajaan negeri dan pihak berwajib memeriksa empat ladang ayam di kampung berkenaan.

“Biarpun satu daripadanya sudah diarahkan tutup operasi, tetapi terdapat tiga lagi ladang ayam masih beroperasi dan memerlukan pemantauan setiap masa.

“Pada masa sama, dua daripadanya terletak berdekatan Sungai Besui dan jika tidak diambil peduli, tidak mustahil situasi sama berlaku kepada air yang mengalir ke Sungai Renggam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:47 AM