Mary Victoria Dass


KERAJAAN negeri Johor mengarahkan operasi sebuah kilang memproses baja tahu ayam dan ladang ayam telur di Layang Layang, Kluang yang dikenal pasti menyumbang kepada pencemaran ammonia di Sungai Johor ditutup.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mengikut maklumat diperoleh, syarikat berkenaan beroperasi di kawasan sama dan terletak sejauh kira-kira sekilometer dari kawasan pembebasan ammonia berkenaan.

Menurutnya, kesalahan itu dipandang serius berikutan ia dipercayai dilakukan berulang-kali.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kejadian seumpama itu dan menggesa Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) mengambil tindakan bersesuaian.

"Apa-apa yang boleh menyumbang kepada pencemaran Sungai Johor, tindakan drastik akan dilakukan dan langkah pencegahan akan diambil," katanya.

Mohamed Khaled berkata, keputusan untuk mengarahkan syarikat itu ditutup adalah hasil mesyuarat yang diadakan hari ini membabitkan pelbagai agensi termasuk BAKAJ, SAJ Ranhill Sdn Bhd, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Pejabat Tanah Daerah Kulai.

Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis Penyerahan Notis 5A dan Majlis Perasmian bootcamp eRezeki dan eUsahawan Parlimen Gelang Patah di Dewan Raya Majlis Perbandaran Johir Bahru Tengah (MPJBT) Gelang Patah di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Semalam Loji Rawatan Air (LRA) Semangar ditutup diikuti dua lagi iaitu LRA Sungai Johor dan Tai Hong menyebabkan bekalan air bersih membabitkan terjejas di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

LRA Semangar membabitkan 160,000 akaun dan dua lagi LRA itu membabitkan masing-masing 170,000 dan 30,000 akaun pengguna air.

Insiden penutupan LRA Semangar itu adalah kejadian kali ketiga penemuan amonia dalam sumber air mentah di LRA berkenaan direkodkan sepanjang tahun ini.

Difahamkan LRA Semangar dan Sungai Johor sudah beroperasi sepenuhnya sejak tengah malam tadi.

Manakala Tai Hong pula akan mula beroperasi mulai malam ini gangguan bekalan air di kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya esok.

Berita berkaitan

Baja tahi ayam punya pasal

Masih siasat

Tolonglah buat kerja!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:48 PM