PEMAIN JDT, Ganzalo Gabriel Cabrera (11) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN JDT, Ganzalo Gabriel Cabrera (11) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamad Zulfaizan Mansor dan Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final Piala Malaysia dengan bergaya selepas menang 3-0 ke atas Perak pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Kemenangan kemenangan itu menyaksikan JDT mara dengan agregat 4-1, sekali gus menempah pertemuan menarik dengan juara bertahan, Kedah di final, pada 4 November ini.

Ia adalah kali kedua JDT mara ke final Piala Malayia selepas dikecewakan Pahang 5-3 menerusi penentuan penalti pada 2014.

Pada perlawanan itu, persembahan seimbang dipamerkan JDT dan Perak di awal permainan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Percubaan terbaik JDT hanya hadir pada minit ke-30 menerusi rembatan deras Gabriel Guerra yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Enam minit kemudian, giliran Perak pula menguji kubu tuan rumah yang menyaksikan percubaan jarak jauh Shahrul Saad hanya

sedikit melepasi palang gol.

Perlawanan terus rancak dengan Hafizul sekali lagi muncul penyelamat The Bos Gaurus pada minit ke-40 apabila berjaya menepis keluar bola sepakan gunting Fadhli Shas di dalam kota penalti.

Bersambung babak kedua, Gonzalo Cabrera akhirnya mencetuskan sorakan lebih 28,000 penyokong tuan rumah selepas menyempurnakan bola hantaran Gabriel Guerra pada minit ke-57.

Guerra meletakkan tuan selesa mendahului apabila meledak gol kedua pada minit ke-74 hasil umpanan Afiq Fazail.

Percaturan Ulisses Morais menggantikan Darren Lok dengan Mohammed Ghaddar terus berhasil apabila pemain kebangsaan itu meledak menambah gol ketiga JDT pada minit ke-80.

Perak dilihat cuba bangkit pada penghujung permainan, namun gagal menembusi gawang JDT yang dikawal Izham Tarmizi Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 11:37 PM