GUERRA (kanan) mahu ledak gol di tempat sendiri.  FOTO/BERNAMA
GUERRA (kanan) mahu ledak gol di tempat sendiri. FOTO/BERNAMA
Rizar Mohd Noor


PENYERANG import Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Gabriel Guerra enggan dipalit persembahan tidak konsisten apabila berdepan Perak pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu ini.

Sebaliknya, pemain yang sinonim dengan panggilan ‘Gabby’ di kalangan rakan sepasukan itu berjanji untuk bangkit mempamerkan aksi terbaiknya pada pertemuan itu nanti.

Guerra berkata dia kecewa selepas gagal membantu skuad Harimau Selatan melakar kemenangan tatkala aksi separuh akhir pertama, Ahad lalu berkesudahan seri 1-1 walaupun memiliki peluang mencipta jaringan.

Katanya, selaku penyerang sudah tentu sandaran diletak kepadanya untuk menjaringkan namun pada aksi separuh akhir pertama lalu, segala-galanya serba tidak menjadi apabila gerakannya dapat dipatahkan barisan pertahanan skuad Bos Gaurus.

“Saya tidak menafikan pada babak pertama persembahan yang ditonjolkan tidak seperti biasa dan jelas amat mengecewakan saya,” kata pemain kelahiran Argentina itu.

“Namun ia berubah pada babak kedua apabila kembali menguasai perlawanan dan berjaya melakukan percubaan berbahaya ke gawang Perak.

“Paling saya tidak lupakan terutama di babak pertama apabila saya hanya berdepan dengan penjaga gol Perak (Hafizul Hakim Khairul Nizam) yang bertindak pantas merampas bola dari kaki tatkala saya hampir untuk melakukan rembatan ke gawang Perak.

“Apa pun ia sudah berlalu dan sememangnya amat mengecewakan namun pada aksi separuh akhir kedua sudah tentu saya akan bangkit dengan persembahan lebih mantap kerana ada baki 90 minit perlawanan lagi dan peluang mara ke pentas final tampak cerah dan harus fokus setiap detik pada perlawanan itu,” katanya.

Walaupun Perak tampil dengan corak permainan ‘luar biasa’ pada aksi separuh akhir pertama, namun Guerra optimis Johor DT mampu mengimbangi kekuatan skuad kendalian Mehmet Durakovic yang pasti hadir dengan aksi permainan pantas untuk menidakkan kelebihan jaringan di tempat lawan yang dimiliki Johor DT.

Katanya, latihan intensif sepanjang persiapan menghadapi Perak sebaik pulang dari Ipoh, tampak berkesan apabila kesemua pemain skuad Harimau Selatan ingin memburu kemenangan tatkala beraksi di laman sendiri dan sokongan padu dari penyokong sendiri akan menyemarakkan lagi semangat setiap pemain Johor DT.

“Kita mahukan kemenangan dan melangkah ke final. Kesempatan beraksi di laman sendiri tidak boleh dilepaskan namun di sebalik keghairahan memburu kemenangan kami perlu berwaspada dan elak daripada pasukan lawan menguasai perlawanan.

“Malah saya akan cuba sedaya upaya untuk menjaringkan gol walaupun pergerakan saya akan diawasi dengan ketat oleh pertahanan Perak tetapi itu bukan masalah kerana sebagai pemain saya harus sentiasa beri yang terbaik untuk Johor DT,” kata Guerra.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 2:00 PM