SAFAWI Rashid meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketiga JDT. FOTO AIZUDDIN SAAD
SAFAWI Rashid meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketiga JDT. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) jelas sukar dicabar apabila meranapkan impian Selangor untuk mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menewaskan tuan rumah 3-0 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Tonggak JDT Safawi Rasid jelas menjadi duri dalam daging apabila melakukan hatrik seterusnya ‘membungkus’ skuad kendalian B Sathianathan untuk melangkah ke pusingan akhir.

Pasukan pelawat yang menurunkan kesebelasan terbaik melakukan serangan seawal minit kedua namun sepakan Safawi sedikit tersasar.

Safawi sekali lagi berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-22 namun tolakannya sedikit tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada skuad Gergasi Merah.

Usaha berterusan juara Liga Super 2019 akhirnya membuahkan hasil apabila Safawi mudah menolak masuk gol pertama pada m-23 hasil hantaran Mohd Afiq Fazail.

Manakala tuan rumah seolah serba tidak menjadi apabila setiap serangannya mudah dibaca pasukan pelawat sekali gus menyaksikan tiada gol tambahan sehingga tamat perlawanan separuh masa pertama.

Sebaik wisel separuh masa kedua ditiup menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora terus melakukan asakan ke kubu lawan sebelum Safawi bijak menyempurnakan hantaran Diogo Luis untuk gol kedua pada m-46.

Safawi terus menghukum kealpaan benteng tuan rumah apabila menyumbat gol ketiga selang lima minit kemudian untuk kedudukan 3-0.

Sathia yang melihat anak buahnya sudah hilang arah membuat dua tukaran pemain dengan memasukkan Faiz Nasir dan Fandi Othman bagi menguatkan lagi bahagian tengah.

Namun, Selangor yang pernah 33 kali menjulang Piala Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan JDT apabila tiada sebarang gol berjaya dicetak sekali gus kedudukan 0-3 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan terbabit menyaksikan JDT menempah tiket ke final Piala Malaysia dengan agregat 5-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 11:13 PM