Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENGURUS Restoran Sara Thai Kitchen di Balok, Kuantan bersedia berjumpa keluarga kanak-kanak yang cedera akibat terkena tumpahan tomyam di restoran itu untuk meminta maaf.

Mohd Zanafi Wahab, 39, mengakui kejadian yang ditularkan keluarga mangsa berlaku di restoran yang diselianya.

Katanya, dia tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku namun ada berjumpa dengan keluarga mangsa untuk meminta maaf dan memberikan wang merawat kecederaan anak mangsa.

“Selepas kejadian berlaku, ibu bapa kanak-kanak itu bergegas untuk membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan dan saya segera mengambil wang untuk berjumpa mereka dan bertanyakan hal yang terjadi.

“Saya menafikan dakwaan mengatakan saya mencampak wang kepada mereka sebaliknya saya cuba memberi wang RM200 kepada bapa mangsa secara sopan dengan cara bersalaman namun ia tidak berlaku sebelum wang yang ingin saya hulurkan terjatuh di dalam kereta mangsa” katanya.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa berusia lima tahun dikatakan bersama keluarganya di restoran itu sebelum kejadian berkenaan menimpa kanak-kanak malang terbabit.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Zack ketika dihubungi di Kuantan, hari ini, berkata, ketika kejadian dia berada di kaunter restoran dan sedang menguruskan urusan tempahan.

“Tiba-tiba saya dengar tangisan anak saya yang berlari ke arah saya. Saya lihat ada kesan tumpahan sup tom yam pada bahagian belakang badannya.

“Saya segera membersihkan kotoran itu di sinki sebelum menyedari bahagian tengkuk dan belakang badannya sudah melecur. Kemudian saya bergegas membawanya ke kereta untuk mendapatkan rawatan di klinik,”€ katanya.

Dia berkata, buat masa ini, dia sedang berbincang dengan ahli keluarga dan rakannya untuk mengambil sebarang tindakan ke atas pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, catatan ibu kanak-kanak itu di Facebook (FB) mendakwa kejadian berpunca daripada pekerja restoran yang membawa hidangan itu untuk dihantar ke meja bersebelahan melanggar anaknya menyebabkan sup tertumpah.

Kejadian itu turut mendapat perhatian dan dikongsi pengguna FB yang yang turut memberikan pelbagai reaksi.

Difahamkan keadaan kanak-kanak perempuan itu dilaporkan stabil namun mengalami trauma akibat kejadian berkenaan.

FOTO Muhd Asyraf Shawal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 6:48 PM
Mohd Zanafi menceritakan kejadian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terkena sup tomyam sehingga menyebabkan tengkuknya melecur ketika bertemu di Restoran Sara Thai, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal. (Gambar kanan)  Gambar FB kanak-kanak perempuan yang melecur.
Mohd Zanafi menceritakan kejadian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terkena sup tomyam sehingga menyebabkan tengkuknya melecur ketika bertemu di Restoran Sara Thai, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal. (Gambar kanan) Gambar FB kanak-kanak perempuan yang melecur.