Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KANAK-KANAK perempuan ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh di dalam lubang kumbahan di Batu 5, Jalan Gambang-Kuantan di Kuantan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu mangsa dikenali Nur Ariesha Abdul Rahman, 5, ditemui beberapa penduduk di sekitar kawasan berkenaan sebelum memaklumkan pihak berkuasa.

Difahamkan kanak-kanak terbabit hilang ketika bermain berhampiran kawasan rumahnya pada waktu petang sebelum ibu mangsa memohon bantuan orang ramai menerusi laman sosial Facebook (FB) bagi mengesan anaknya.

Bagaimanapun mayat Nur Ariesha ditemui beberapa jam kemudian kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas usaha mencari kanak-kanak itu dilakukan orang ramai bersama keluarga mangsa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.06 malam sebelum jentera pertama tiba ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

“Sebaik tiba kita mendapati terdapat kanak-kanak di dalam lubang kumbahan sebelum operasi membawa keluar mangsa dijalankan.

“Anggota bomba turun ke dalam lubang kumbahan sebelum menggunakan tali bagi membawa keluar mangsa,” katanya dalam kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.

Kelmarin Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz, 3, maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:53 AM
NOR Arisya ditemui beberapa penduduk di sekitar kawasan berkenaan sebelum memaklumkan pihak berkuasa. FOTO Ihsan Pembaca
NOR Arisya ditemui beberapa penduduk di sekitar kawasan berkenaan sebelum memaklumkan pihak berkuasa. FOTO Ihsan Pembaca