Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun antara empat suspek ditahan di sekitar Setapak, kelmarin, bagi membantu siasatan kejadian samun rumah di Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tiga lagi yang ditahan masing-masing dua remaja perempuan berusia 13 dan 14 tahun serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam tiga tangkapan berasingan pada hari sama.

Beliau berkata, semua ditahan bagi membantu siasatan kes samun barangan kemas di rumah wanita membabitkan kerugian kira-kira RM4,000.

"Siasatan awal mendapati mereka (suspek) masuk ke rumah mangsa ketika wanita itu keluar bekerja, Selasa lalu.

“Namun ketika kejadian anak mangsa yang berusia 10 tahun berada di rumah dan empat suspek ini telah memperdayakan kanak-kanak terbabit supaya membuka pintu kononnya diminta datang ke rumah untuk mengambil wang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, semua suspek kini direman tiga hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 10:56 AM