FOTO hiasan
FOTO hiasan
Norasikin Daineh


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sahkan empat pegawai dan anggota polis IPD Lahad Datu yang ditahan pernah lafaz ikrar.

Sehubungan itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi berkata, pihaknya enggan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sekadar lafaz tetapi tidak dihayati sepenuhnya.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan sama ada empat pegawai dan anggota IPD Lahad Datu yang ditahan berhubung kes memperoleh rasuah daripada ah long ada lafaz IBR.

"Saya perlu ingatkan, IBR bukan satu perkara mainan. Kalau kita lihat semalam di akhbar, anggota polis Lahad Datu yang ditangkap adalah membabitkan kes rasuah.

"Empat polis ini adalah yang sudah angkat ikrar. Malah, seluruh polis termasuk di Sabah, IPD dan IPK sudah lafaz IBR," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Bangunan Canselori UMS, Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Profesor Dr D Kamarudin D Mudin.

Sazali turut mengingatkan kepada individu yang melafaz IBR perlu menunjukkan komitment masing-masing dalam menghindari rasuah.

"Kita tidak mahu ia dijadikan wayang atau drama saja masuk dalam media. Esok lusa ditangkap kerana rasuah dan yang malu adalah pemimpin teratas agensi itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 1:13 PM