Helmy Abd Rahman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menafikan memberi layanan istimewa kepada penjawat awam yang melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengarahnya, Mohd Zaki Hassan berkata, penjawat awam yang menandatangani IBR dan didapati bersalah kerana terbabit dengan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetap berdepan tindakan.

"Mereka bukannya 'anak emas' dan akan tetap dikenakan tindakan seandainya terbabit dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

"SPRM tidak menggunakan akta atau seksyen lain yang membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada penjawat awam yang sudah menandatangani IBR, tetapi akta sedia ada akan diguna pakai sama seperti hukuman ke atas individu atau penjawat awam lain," katanya selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR peringkat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Kuala Nerus, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan SPRM negeri membuka 42 kertas siasatan dan menahan 38 individu terutama penjawat awam di seluruh Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 2:16 PM