Tinjauan di tempat perlombongan bauksit Felda Bukit Goh hari ini mendapati tiada aktiviti mengangkut bauksit oleh lori. FOTO Luqman Hakim Zubir
Tinjauan di tempat perlombongan bauksit Felda Bukit Goh hari ini mendapati tiada aktiviti mengangkut bauksit oleh lori. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang akan bertindak sebagai ketua penyelaras tindakan penguatkuasaan bersepadu pergerakan lori membawa bauksit ke lokasi simpanan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Azizan Ahmad di sini, tadi untuk menyelaras aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan memastikan isu berkaitan seperti pengangkutan bauksit ke lokasi simpanan diuruskan dengan sewajarnya.

"Sebelum tempoh moratorium yang akan berkuatkuasa pada 15 Januari ini, syarikat perlombongan bauksit dijangka menggunakan tempoh itu untuk mengeluarkan semua bauksit yang ada di kawasan perlombongan ke lokasi simpanan.

"Jadi, penguatkuasaan secara bersepadu perlu dilaksanakan serta merta untuk memastikan pergerakan lori yang membawa bauksit mematuhi undang-undang untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada penduduk sekitar kawasan terbabit,"katanya.

Selain PTG Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang sebagai pengerusi bersama manakala agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan turut terbabit dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan sebelum bermulanya tempoh moratorium itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 9:22 PM