SALAH (dua kanan) dijatuhkan Gomes dalam kotak penalti.
SALAH (dua kanan) dijatuhkan Gomes dalam kotak penalti.
Agensi

London: Miguel Britos menjaringkan gol kontroversi pada masa kecederaan sekali gus membolehkan Watford yang dikendalikan pengurus baru, Marco Silva mengikat Liverpool 3-3 di Vicarage Road, malam tadi.

Liverpool dilihat bakal muncul pemenang ketika masa depan Philippe Coutinho masih samar tetapi tandukan Britos pada hujung permainan menceriakan penyokong tuan rumah.

Stefano Okaka membuka jaringan pada minit kelapan dan Abdoulaye Doucoure sekali lagi meletakkan Watford di depan selepas Sadio Mane menyamakan kedudukan.

Liverpool terus mengasak dan Roberto Firmino menjadikan kedudukan 2-2 selepas menyempurnakan penalti apabila Mohamed Salah dikasari pertahanan Watford.

Tuan rumah bermula baik dan Okaka hampir menjaringkan gol selepas berjaya melepaskan diri dari kawalan pertahanan pelawat tetapi rembatannya dihalang Dejan Lovren.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Watford berada di depan apabila Okaka yang tidak dikawal, berjaya menanduk masuk hantaran lintang Roberto Pereyra.

Liverpool dilihat agak sukar mengimbangi perlawanan tetapi tetap berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mane selepas penyerang Senegal itu melancarkan gerakan bersama Alberto Moreno dan Emre Can.

Ketika ghairah memburu lebih banyak jaringan, Liverpool sekali lagi kecewa apabila kesilapan pertahanan mereka pantas dihukum Doucoure.

Bermula babak kedua, Watford terpaksa mengeluarkan Pereyra untuk digantikan dengan Richarlison dan kesempatan itu digunakan Liverpool untuk menyamakan kedudukan menerusi Firmino pada minit ke-55.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:41 AM