PENGURUS Arsenal, Unai Emery. FOTO Reuters
PENGURUS Arsenal, Unai Emery. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Unai Emery enggan menuding kesalahan terhadap pengadil, Michael Oliver berikutan dua keputusan penalti kontroversi yang menyaksikan Arsenal tewas 1-5 kepada Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Emery terkulai di Anfield dengan Liverpool meraih kemenangan cukup meyakinkan selepas trio serangannya Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah masing-masing meledak gol.

Begitupun, dua gol yang diperoleh menerusi sepakan penalti - yang disempurnakan Salah dan gol ketiga Firmino kedua-duanya dilihat sebagai kontroversi.

Liverpool memperoleh penalti pertamanya daripada Salah, yang terjatuh disebabkan terjahan Sokratis Papastathopoulos dan yang kedua apabila Sead Kolasinac menjatuhkan Dejan Lovren.

Emery tidak menyalahkan pengadil atas tindakannya menganugerahkan penalti itu tetapi mendakwa jika pengadil bantuan video (VAR) digunakan, kelebihan akan berpihak kepada Arsenal.

“Dua gol terakhir, dua penalti, saya fikir ia tidak memihak kami,” kata Emery. “Saya fikir VAR penting, ia akan hadir tahun depan kerana saya fikir ia akan membantu pengadil membuat keputusan lebih baik.

“Keputusannya jelas. Ia bukan sekadar daripada pengadil. Ada beberapa situasi positif di tengah padang, sebagai contoh Ainsley (Maitland-Niles) bermain di sayap kanan dan menjaringkan gol, ia berjalan dengan baik.

“(Alex) Iwobi juga, selepas beberapa perlawanan tidak beraksi dengan amat baik, hari ini dia bermain 90 minit dengan prestasi yang baik tapi secara bertahan kami perlu berusaha lebih keras.

“Prestasi pertahanan kami dalam kotak penalti, ia tanggungjawab saya dan kemudian kami memerlukan keseimbangan. Kami perlu mengekalkan keseimbangan di bahagian tengah.

“Kami tewas 1-5 tapi kami perlu mengekalkan keseimbangan di bahagian tengah, menjadi serius kerana Selasa ini ada perlawanan besar di Emirates.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 10:01 AM