GOL penyamaan Rose.
GOL penyamaan Rose.
Reuters

London: Danny Rose menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua untuk menafikan kelebihan Liverpool selepas James Milner menyempurnakan penalti dan ledakan pemain pertahanan itu di White Hart Lane malam tadi membolehkan Tottenham Hotspur mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Erik Lamela menanduk hantaran lintang Eric Dier sebelum bola singgah di kaki Rose pada minit ke-72 dan pertahanan kiri England itu sempat mengawal bola dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Simon Mignolet.

Sebelum itu, Milner menewaskan Michel Vorm menerusi penalti di minit ke-43 apabila Erik Lamela menjatuhkan Roberto Firmino.

“Seri mungkin satu keputusan yang adil,” kata Rose. “Pada babak pertama, Vorm adalah pemain terbaik kami tetapi saya rasa kami bermain lebih baik di babak kedua.”

Tottenham pasti merasai kehilangan Mousa Dembele yang digantung apatah lagi Liverpool tampil lebih garang selepas tewas 0-2 di tangan Burnley hujung minggu lalu.

Penjaga gol Vorm terpaksa meninggalkan gawangnya sebanyak dua kali bagi menghalang cubaan Sadio Mane dan dia juga menyelamatkan cubaan Philippe Coutinho ketika pelawat beraksi cukup cemerlang di sepanjang babak pertama.

Kesungguhan Liverpool untuk menjaringkan gol juga menyaksikan Lamela terpaksa menjatuhkan Firmino.

“Philippe mendapat peluang yang baik,” kata pertahanan Liverpool Dejan Lovren. “Saya rasa kami patut mendahului 2-0 pada masa tertentu.

“Kami sentiasa mahu menang dan justeru, kami tidak puas hati dengan keputusan ini. Kami hanya gagal menghasilkan gol lebih.”

Tottenham bermula dengan perlahan dan berdepan risiko tewas buat kali pertama musim ini apabila Mane menjaringkan gol tetapi dibatalkan akibat ofsaid.

Mignolet menyelamatkan dua percubaan menerusi Lamela dan Toby Alderweireld walaupun selepas itu Rose berjaya menyamakan kedudukan buat Spurs.

“Memang kami sangat kecewa,” kata Milner. “Kami tidak melakukan yang sepatutnya untuk menang di babak kedua dan justeru, keputusan seri ini adalah adil buat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:07 AM