Mohd Husni Mohd Noor


EJEN unit amanah dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, di Putrajaya, hari ini, atas 182 tuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun pada Januari dan Mac lalu di sebuah rumah di Sungei Wei, Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

Tertuduh berusia 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan memohon kes dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Bagaimanapun, Yong Zarida terpaksa menangguhkan prosiding pendakwaan bagi baki lebih 400 pertuduhan lain yang akan dibaca kira-kira 9 pagi esok.

Terdahulu, Yong Zarida menetapkan tertuduh juga tidak dibenarkan dijamin selepas mendengar hujah oleh timbalan pendakwaraya, Nordalina Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibaca hari ini, tertuduh didakwa atas 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuanya yang berusia 15 tahun di bilik tidur utama rumahnya, di Sungai Way, Petaling Jaya, antara jam 6 pagi hingga 1 pagi, pada 11 Julai hingga 20 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh yang juga mempunyai hak pemeliharaan terhadap mangsa turut didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap antara 1 Januari hingga 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a)dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2016, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, jam 2 petang, pada 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga berdepab 150 tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii di tempat sama, antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, pada Januari dan Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan bagi kesalahan meliwat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali sehari iatu masing-masing antara jam 6 hingga 7 pagi; 1 hingga 2 petang dan 11 hingga 12 malam.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalna Pendakwaraya Nordalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin manakala, kertas pertuduhan pula dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, Nur Azera Zulkefli.

Terdahulu, tertuduh tiba di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak kira-kira jam 8.45 pagi dengan keadaan tangan bergari serta berpakaian baju kelabu dan berseluar jeans hitam.

Bagaimapun, pertuduhan hanya dapat dibacakan kira-kira jam 2.50 petang selepas selesai urusan pendaftaran kes dan kesemua pertuduhan itu dibaca dalam tempoh tiga jam sebelum berakhir kira-kira 6 petang.

Berikutan kertas tuduhan yang banyak, Yong Zarida terpaksa menangguhkan proses bacaan pertuduhan sebanyak dua kali iaitu masing-masing pada jam 3.25 dan 5.15 petang untuk berehat seketika.

Tertuduh kini berada dalam tahanan reman selepas ditahan polis sejak 26 Julai lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmad dalam kenyataan sebelum ini berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak dua tahun lalu, selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal bersamanya ekoran perceraian dengan isterinya.

Menurutnya, suspek ditahan polis selepas mangsa mendedahkan perbuatan terkutuk oleh suspek kepada ibu kandung selepas mengetahui bapanya itu berhasrat mengambil dua adik perempuan mangsa berusia sembilan dan 11 tahun untuk tinggal bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 6:38 PM
Bapa durjana (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, di Putrajaya, hari ini, atas 182 tuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Bapa durjana (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, di Putrajaya, hari ini, atas 182 tuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor