Keadaan Arjuna yang dirawat di HSI. FOTO ihsan Mohd Hafizi Jumhari
Keadaan Arjuna yang dirawat di HSI. FOTO ihsan Mohd Hafizi Jumhari
Mohamad Fahd Rahmat


"ISTERI teringin sangat menyusukan anak bongsu kami kerana sejak lahir hingga usianya 82 hari ketika ini, Arjuna tak pernah merasainya.

"Arjuna tidak pernah menyusu kerana selama ini dia hanya minum melalui tiub," kata Mohd Hafizi Jumhari, 30.

Mohd Hafizi ialah bapa kepada Muhamad Arjuna berusia 82 hari yang kisahnya tular apabila tidak mampu menjalani kehidupan normal dan hospital menjadi tempat tinggalnya sejak dilahirkan pada 30 April lalu.

Mohd Hafizi berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru sejak Isnin lalu selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat sejak lahir.

"Sejak hari pertama di HSI, Arjuna menerima rawatan termasuk dipasang wayar dan diambil air tulang belakang untuk mengetahui jenis virus yang menyerang otaknya selain sawan.

"Alhamdulillah serangan sawan berkurang sedikit berbanding kira-kira 50 kali serangan seperti sebelum ini. Namun pada hari pertama dimasukkan ke HSI, doktor mengatakan keadaannya sangat tidak baik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sejak kisah anaknya itu tular, dia menerima sumbangan daripada orang ramai.

Dia berkata, mereka sekeluarga terutama isteri, Noorismaliza Ahmad, 27, amat bersyukur dan menghargai bantuan orang ramai.

"Kami berterima kasih dengan bantuan diberikan. Dalam masa sama, saya tidak tahu kos sebenar yang akan ditanggung kerana sehingga kini Arjuna masih dirawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 5:01 PM