ibu kandung Muhammad Arjuna, Noorismaliza  membaca surah Yasin di samping   jenazah anaknya, petang kelmarin.
ibu kandung Muhammad Arjuna, Noorismaliza membaca surah Yasin di samping jenazah anaknya, petang kelmarin.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: “Saya amat menghargai pengorbanan empat ibu susuan bayi kami, Muhammad Arjuna selama ini walaupun anak kami sudah tiada,” ujar bapa bayi malang, Mohd Hafizi Jumhari, 31.

Muhammad Arjuna, sembilan bulan, meninggal dunia jam 7.53 malam kelmarin, selepas menderita sawan, darah tinggi dan komplikasi paru-paru sejak dilahirkan.

Penderitaan bayi itu menjadi tular berikutan Muhammad Ajun terpaksa makan 108 pil sehari untuk meneruskan hidup.

“Terima kasih kepada keempat-empat ibu susuan Muhammad Arjuna, Mied Yahaya, Nor Farahtica, Nurul Hayat Ismail dan Niza Ahmad. Minta dihalalkan susu kalian dunia akhirat.

“Muhammad Arjuna mula nazak pada 4.30 petang kelmarin dan dipindahkan ke bilik khas untuk dipantau di Wad Kanak-Kanak HSNI.

“Ketika itu saya memanggil doktor kerana arwah sukar bernafas dan menyangkakan dia memerlukan bantuan oksigen tetapi doktor memberitahu arwah nazak, selain diserang sawan dan darah tinggi.

“Sebelum ini, arwah menunjukkan perkembangan positif apabila menjalani rawatan alternatif dan tradisonal selepas kami menghentikan semua ubat yang diambil. Bagaimanapun, Muhammad Arjuna dimasukkan ke HSNI pada 1 Januari lalu,” katanya.

Menurutnya, keluarganya reda dengan kejadian itu dan jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Suluh, di sini, semalam.

Sementara itu, ibu bayi terbabit, Noorismaliza Ahmad, 28, reda dengan ujian Allah kepada keluarganya, malah menganggap anaknya itu menjadi ahli syurga.

“Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada keluarga, warga kampung dan sahabat handai yang membantu menguruskan jenazah Muhammad Arjuna dari mula hingga selesai.

“Terima kasih juga kami ucapkan kepada sahabat dan netizen yang banyak membantu dan menyumbang sama ada secara langsung atau tidak sepanjang hayat Muhammad Arjuna, kami minta dihalalkan semuanya dunia akhirat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:29 AM