Kemalangan yang mengorbankan tiga orang termasuk dua beranak di Kilometer 2.5 Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka, dekat Gemencheh, Tampin, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Kemalangan yang mengorbankan tiga orang termasuk dua beranak di Kilometer 2.5 Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka, dekat Gemencheh, Tampin, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


TIGA termasuk dua beranak maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan van pekerja di Kilometer 2.5 Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka, dekat Gemencheh, Tampin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, kenderaan Nissan Serena dinaiki wanita bersama bayi perempuannya berusia dua tahun dan bapa mentua manakala van jenis Toyota Hiace dinaiki empat pekerja kilang.

Menurutnya, kejadian jam 1.55 tengah hari berlaku apabila MPV dalam perjalanan dari arah Batang Melaka ke Air Kuning Selatan dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan van.

"Kemalangan itu mengakibatkan pemandu wanita itu dan pemandu van tersepit manakala lima lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

"Wanita terbabit dan anak perempuannya disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu van meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tampin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa akan dibedah siasat di Hospital Tampin dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 5:19 PM