Norizuan Shamsuddin


INSIDEN gangguan daripada penumpang sehingga pesawat MH128 yang dalam penerbangan dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik berakhir selepas penumpang yang membuat kecoh ditahan bahagian keselamatan lapangan terbang dan semua penumpang selamat meninggalkan pesawat.

Dalam kenyataan terkini daripada Malaysia Airlines pada 12.19 tengah malam, semua penumpang yang sudah meninggalkan pesawat menjalani pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Australia.

Penumpang diberi kemudahan hotel dan ditawarkan untuk menaiki penerbangan seterusnya berdasarkan kekosongan atau menggunakan penerbangan syarikat lain.

Malaysia Airlines akan berkerjasama dengan pihak berkuasa Australia dalam menyiasat insiden yang berlaku.

"Kami ingin menegaskan bahawa tiada unsur pesawat dirampas.

"Keselamatan penumpang adalah keutamaan Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan ini memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku," katanya.

Pesawat MH128 yang berlepas dari lapangan terbang Melbourne pada jam 11.11 malam dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.28 pagi, Khamis.

Bagaimanapun, pesawat terpaksa berpatah balik selepas kapten menerima maklumat daripada anak kapal ada kekecohan berlaku apabila penumpang cuba masuk ke kokpit.

Susulan kejadian itu, akhbar tempatan Australia, Daily Mail melaporkan Lapangan Terbang Tullamarine ditutup dan pesawat diperiksa unit pemusnah bom.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 1:14 AM