PESAWAT United Airlines. FOTO AFP
PESAWAT United Airlines. FOTO AFP
Agensi

Washington: Sebuah pesawat United Airlines, baru-baru ini, terpaksa mendarat cemas selepas seorang penumpang cuba memasuki kokpit dan membuka pintu keluar.

Mirror UK melaporkan, ketika kejadian kira-kira 9 malam Jumaat lalu itu, pesawat 1641 United Airlines baru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare di sini untuk ke Los Angeles.

Insiden berlaku dengan pantas apabila seorang penumpang bangun dan bergegas untuk membuka pintu kokpit.

Penumpang terbabit kemudian cuba membuka pintu keluar Boeing 737 itu, tetapi tidak berjaya.

Kejadian mencemaskan itu menyebabkan pesawat terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang sama, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam kenyataan kepada The Mirror US.

Selepas pesawat mendarat, pegawai penguat kuasa undang-undang sudah berada di pintu pagar dan menahan penumpang terbabit.

Setakat ini, belum ada kepastian apakah pertuduhan yang dikenakan terhadap penumpang berkenaan atau apa yang berlaku kepada penerbangan yang tertunda itu.

FlightAware, sebuah laman web penjejak penerbangan, memaklumkan pesawat itu akan membuat perjalanan lain dari Chicago ke Los Angeles pada petang Sabtu.

The Mirror US cuba menghubungi United Airlines dan Jabatan Polis Chicago, tetapi kedua-dua pihak tidak memberi maklum balas berhubung isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:58 PM