KOBAYASHI kini bermain di Qatar. FOTO Agensi
KOBAYASHI kini bermain di Qatar. FOTO Agensi
AFP

Tokyo: Pemain tengah Jepun, Yuki Kobayashi meminta maaf kepada pegawai perlawanan selepas berlaku salah faham dengan mendakwa pengadil mengugut mahu membunuhnya.

Kobayashi yang beraksi bersama kelab Al-Khor di Qatar Stars League mendakwa pengadil berkata kepadanya 'saya akan bunuh kamu' ketika dia merayu sepakan sudut pada lewat permainan ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Al-Gharafa pada Isnin lalu.

Tetapi pada Selasa lalu, dia menarik balik tuduhan selepas bertemu pegawai perlawanan terbabit dan menyedari perkataan sebenar diucapkan adalah 'saya beritahu anda.'

"Terdapat salah faham mengenai apa diperkatakannya. Saya seperti mendengar 'saya bunuh kamu' tetapi sebenarnya 'saya beritahu anda,'' katanya dalam Twitter.

Kobayashi yang mempunyai lapan kap bersama skuad Jepun mendakwa dalam Twitter yang telah dipadam, pengadil tidak mempedulikan komplennya bahawa bola terakhir terkena pemain lawan.

Malah pengadil terbabit berkata 'sedikit sentuhan tiada sentuhan. Ini peraturan baru.''

Kobayashi mendakwa pengadil mentertawakannya sebelum berkata 'ok anda adalah lawan saya, saya akan bunuh anda.''

Bintang Jepun, Keisuke Honda memberi sokongan moral kepada bekas rakan sepasukan antarabangsanya itu dengan membalas di Twitter: "Yuki, saya bangga dengan keberanian anda berkata perkara itu. Sukar dipercayai pengadil boleh berkata seperti itu kepada anda.''

Tetapi semalam Kobayashi meminta maaf kepada pengadil apa yang diperkatakan di Twiiter dan situasi terjadi.

"Saya sayang Qatar. Saya suka tinggal dan bermain di sini. Saya tiada masalah di sini dan semua orang hormati saya,'' katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu berpindah ke Al-Khor dari kelab Belgium, Waasland-Beveren pada September lalu selepas tiga musim bersama kelab Belanda, Heerenveen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 8:16 PM