YUSOFF utamakan kesihatan dan keselamatan pemain.
YUSOFF utamakan kesihatan dan keselamatan pemain.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) secara rasmi mengumumkan pertandingan Liga M3 2021 yang pada asalnya dijadual bermula Mac ini akan dipinda ke satu tarikh baharu pada Jun depan.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pindaan berkenaan dibuat bagi memastikan kesihatan pemain dan pegawai serta perancangan pasukan yang bakal bertanding tidak terjejas berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih serius.

"Walaupun kami ingin pertandingan Liga M3 musim 2021 ini dijalankan mengikut jadual awal seperti dirancang tetapi kesihatan serta keselamatan pemain dan pegawai pasukan adalah keutamaan buat kami di AFL," katanya.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, pindaan ini tidak akan menjejaskan proses saringan serta pengesahan pasukan bertanding yang dijangka selesai awal Mac ini.

"Pengesahan awal ini akan memberi masa mencukupi untuk kesemua pasukan bertanding bersiap siaga mengharungi saingan Liga M3 2021," katanya.

Selain itu, Yusoff memberitahu pindaan itu juga satu langkah proaktif bagi memastikan kelancaran semua aspek pertandingan termasuk pendaftaran pemain dan pasukan serta penjadualan perlawanan Liga M3 tidak terganggu.

"Kami (AFL) akan menggunakan waktu pindaan ini untuk melakukan saringan lebih teliti ke atas semua dokumen yang telah diserahkan oleh pasukan. Seperti dimaklumkan sebelum ini, proses saringan ini perlu sebagai langkah persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) ke arah semi-pro selain untuk mengenal pasti pasukan terbaik dan kompetitif," jelas beliau.

Tambahnya lagi,"Bagi saingan Liga M3 musim 2021 ini, AFL sudah bersedia dengan beberapa format pertandingan dan akan meneliti dan memilih format terbaik selepas memuktamadkan jumlah pasukan yang layak dan melepasi syarat untuk bertanding."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 8:49 PM