GAYA Jones meraikan jaringan kemenangan Liverpool di Anfield. FOTO AFP
GAYA Jones meraikan jaringan kemenangan Liverpool di Anfield. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp kagum dengan kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Ajax untuk mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara ketika skuadnya berdepan senarai panjang kecederaan pemain.

Pemain muda Reds memanfaatkan peluang untuk menyinar dengan Curtis Jones yang berusia 19 tahun meledak gol kemenangan manakala Caoimhin Kelleher yang kali pertama beraksi dalam saingan Eropah memastikan gawang tidak dibocori ketika menentang gergasi Belanda.

Kemenangan memastikan skuad Klopp mendahului Kumpulan D dengan baki satu perlawanan sekali gus berpeluang merehatkan beberapa bintangnya ketika berkunjung ke Midtjylland minggu depan.

"Jujurnya, sejak saya datang ke sini, ini salah satu malam terbaik di Liga Juara-Juara,'' kata Klopp yang membawa Liverpool ke dua aksi final dan menjuarainya pada 2019.

"Tanpa penyokong ia aksi amat sukar tetapi cemerlang."

Kelleher mengambil alih tempat Alisson Becker manakala Andrew Robertson memerlukan rawatan di kaki pada babak pertama selain ketiadaan Virgil van Dijk, Joe Gomez, Alex Oxlade-Chamberlain, Naby Keita, Xherdan Shaqiri, Trent Alexander-Arnold dan James Milner yang mengalami kecederaan.

KLOPP memeluk  Kelleher  selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
KLOPP memeluk Kelleher selepas tamat perlawanan. FOTO AFP

"Ada banyak sebab untuk tersenyum kerana kami berdepan krisis kecederaan dan pemain saya melakukan yang terbaik malam ini,'' tambah Klopp

"Lihat mereka beraksi, Robbo dan Henderson dikasari namun tetap berjuang. Gini (Wijnaldum) tiada kata untuknya dan Curtis Jones, prestasi mantap daripada pemain berusia 19 tahun. Saya sangat bangga malam ini.''

Jones salah seorang pemain yang menyinar dengan ketiadaan tonggak utama dan dia hampir meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan lencung ketika permainan baru masuk minit ke-6.

Kesilapan penjaga gol Ajax, Andre Onana yang membiarkan sahaja hantaran Neco Williams melepasinya dan bola tepat menuju ke kaki Jones yang tenang menolak bola ke gawang kosong untuk jaringan kemenangan Liverpool pada minit ke-58.

Ajax hampir menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki dua minit menerusi tandukan kencang Klaas-Jan Huntelaar namun Kelleher cemerlang menampannya.

Pelawat yang tidak tewas dalam lapan perlawanan sejak kalah di tempat sendiri kepada Liverpool pada Oktober lalu kini perlu menewaskan Atalanta di Amsterdam minggu depan untuk mara ke saingan kalah mati.

Atalanta pula hanya mampu seri 1-1 menentang Midtjylland di Bergamo dan mereka perlu mengelakkan kekalahan ketika menentang Ajax minggu depan untuk mara ke saingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:49 AM