KEMPEN I Can, We Will meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara triple-negatif.
KEMPEN I Can, We Will meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara triple-negatif.
Hafiz Ithnin

DI bawah naungan kempen I Can, We Will, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) berganding bahu bersama MSD Malaysia dalam meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai kanser payudara triple-negatif atau 'triple-negative breast cancer' (TNBC).

Kerjasama itu memberi fokus kepada TNBC dengan matlamat untuk memperkasakan wanita dengan pengetahuan dalam menentang subjenis kanser payudara agresif ini, yang biasanya menjejaskan wanita muda di bawah umur 40 tahun.

Di Malaysia, kanser payudara adalah kanser yang paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita daripada kumpulan etnik utama antara 2012 hingga 2016.

TNBC berlaku antara 12.4 hingga 17.6 peratus daripada keseluruhan kes kanser payudara di negara ini.

Berbanding kanser payudara lain, TNBC adalah sejenis kanser yang agresif kerana ia berkembang dengan cepat, lebih cenderung untuk tersebar pada masa ia dikesan dan lebih cenderung berulang selepas rawatan.

Malah TNBC juga tidak mempunyai mana-mana reseptor yang biasanya terdapat dalam tisu payudara dan sel kanser payudara.

Ini termasuk reseptor estrogen (ER) dan progesteron (PR) dan protein yang dikenali sebagai HER2 (reseptor faktor pertumbuhan epidermal manusia).

Perkara itu menjadikan TNBC lebih mencabar untuk dirawat kerana ia tidak memberi respons kepada beberapa jenis rawatan.

Pakar Perunding Klinikal Onkologi, Dr Jennifer Leong berkata, biasanya, doktor akan merawat pesakit dengan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi sebagai sebahagian daripada pelan rawatan.

"Oleh kerana kekurangan reseptor ER/PR dan protein HER2, rawatan tertentu seperti terapi hormon atau terapi sasaran HER2 tidak sesuai untuk pesakit TNBC.

"Namun, dalam beberapa tahun terkini, ketersediaan terapi baharu yang inovatif seperti imunoterapi memberikan lebih banyak pilihan rawatan untuk pesakit TNBC, memberikan mereka harapan baharu untuk menentang penyakit ini," katanya.

Selain dari merawat TNBC, menyediakan sokongan yang mencukupi kepada pesakit secara holistik juga penting untuk kesejahteraan dan pemulihan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:25 AM