KOMUNIKASI konsisten dengan doktor penting untuk keberkesanan rawatan (gambar hiasan).
KOMUNIKASI konsisten dengan doktor penting untuk keberkesanan rawatan (gambar hiasan).
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Berdasarkan beberapa tahun kebelakangan ini terdapat peningkatan dalam kes kanser dengan barah payudara menduduki carta teratas bagi 10 jenis kanser yang paling biasa ditemui di Malaysia.

Lebih membimbangkan, laporan itu turut mendedahkan statistik bilangan kes kanser tahap III dan IV meningkat dari 58.7 peratus (2007-2011) kepada 63.7 peratus (2012-2016).

Justeru, orang ramai disarankan supaya menjalani saringan kesihatan dengan kerap dan apabila diperlukan bagi membolehkan rawatan awal dilakukan sekali gus untuk prognosis yang lebih baik.

Ini kerana ada sesetengah pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital kerana mereka memutuskan untuk mengambil tindakan sendiri dengan bergantung kepada makanan tambahan (suplemen), rawatan sendiri atau cuba untuk mengelak rawatan sama sekali.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa wujudnya satu stigma mengenai diagnosis kanser kerana pesakit mungkin berasa bimbang mengenai keselamatan pekerjaan mereka.

Selain itu, pesakit juga dikatakan takut terhadap persepsi dan tanggapan orang ramai, iaitu keadaan yang boleh menghalang mereka daripada mengambil tindakan betul untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

PESAKIT kanser payudara biasanya memerlukan gabungan kaedah rawatan yang mungkin terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, terapi hormon, terapi bersasar atau terapi radiasi (gambar hiasan).
PESAKIT kanser payudara biasanya memerlukan gabungan kaedah rawatan yang mungkin terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, terapi hormon, terapi bersasar atau terapi radiasi (gambar hiasan).

Menurut Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad, orang ramai digalakkan untuk melakukan saringan kesihatan yang kerap bagi mengesan sebarang kelainan dan segera mendapatkan rawatan awal.

Kata Dr Hafizah, sebarang diagnosis kanser tidak boleh dibiarkan tanpa dirawat sehingga ia merebak ke peringkat lebih bahaya.

"Meskipun keputusan muktamad berkenaan rawatan bergantung kepada pesakit, namun pengesanan dan rawatan awal boleh memberikan mereka pilihan serta lebih banyak kawalan ke atas apa yang mahu dilalui.

"Justeru, pesakit harus berkomunikasi secara kerap dengan doktor perunding mereka bagi mencari kaedah rawatan yang terbaik untuk diri mereka," katanya.

Jelas Dr Hafizah lagi, usaha padu pelbagai disiplin dalam rawatan kanser adalah penting, kerana ia memerlukan satu pasukan pakar yamg saling bekerjasama untuk memberikan rawatan terbaik.

Katanya, untuk kanser payudara, rawatan membabitkan semua pakar termasuk pakar bedah payudara, pakar onkologi, pakar radiologi, jururawat onkologi dan fisioterapi.

"Rawatan kanser payudara bergantung kepada jenis, tahap kanser dan kondisi pesakit.

"Biasanya, seorang pesakit memerlukan gabungan kaedah rawatan yang mungkin terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, terapi hormon, terapi bersasar atau terapi radiasi," katanya.

Dr Hafizah berkata, terdapat beberapa faktor risiko dalam perkembangan kanser payudara yang tidak dapat dielakkan, seperti peningkatan umur, sejarah keluarga yang menghidapi kanser payudara atau ovari, faktor-faktor reproduktif dan mutasi genetik (seperti BRCA1 dan BRCA2).

LAKUKAN pemeriksaan payu dara sendiri di rumah dengan kerap bagi mengesan sebarang keganjilan (gambar hiasan).
LAKUKAN pemeriksaan payu dara sendiri di rumah dengan kerap bagi mengesan sebarang keganjilan (gambar hiasan).

"Walaubagaimanapun, terdapat faktor lain yang turut meningkatkan lagi risiko antaranya gaya hidup tertentu seperti faktor diet (diet kaya dalam lemak haiwan), penggambilan alkohol yang tinggi (lebih daripada dua gelas sehari) dan penggunaan ubat-ubatan yang mengandungi hormon," katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin SMCV, Dr Suziah Mokhtar pula berkata, saringan untuk mengesan pada peringkat awal adalah penting dalam merawat semua penyakit kanser termasuk kanser payudara.

Untuk itu, wanita turut disarankan supaya memeriksa payudara sendiri secara kerap bagi mengesan sebarang simptom atau tanda luar biasa.

Kata Dr Suziah, wanita perlu tahu bagaimana keadaan payudara yang normal dan harus memeriksa di sekitar payudara termasuk dada bahagian atas dan ketiak.

"Terdapat beberapa tanda amaran yang biasa antaranya ketulan, perubahan dalam saiz atau bentuk payudara dan lesung pada kulit payudara.

"Selain itu, perlu juga diberi perhatian sekiranya terdapat perubahan pada puting (tertarik ke dalam) pengeluaran abnormal daripada puting atau berasa sakit atau kelembutan pada puting," katanya.

Jelas Dr Suziah lagi, semua kaedah rawatan konvensional untuk kanser payudara adalah berdasarkan pendekatan multimodaliti dan sentiasa direka suai khas untuk setiap individu.

Kata Dr Suziah, rawatan definitif hanya diputuskan selepas perbincangan ekstensif diadakan dan kaunseling juga akan diberikan kepada pesakit serta ahli keluarga.

ORANG ramai perlu kerap bersenam dan waspada kesan pengambilan sesetengah ubat (gambar hiasan).
ORANG ramai perlu kerap bersenam dan waspada kesan pengambilan sesetengah ubat (gambar hiasan).

Di pusat perubatan berkenaan misalnya, mereka menyediakan pengurusan bertaraf dunia untuk rawatan kanser payudara menggunakan ubatan terbaharu dan teknologi yang paling maju.

"Inilah sebab mengapa adalah penting untuk pesakit mendapatkan rawatan awal dan bukannya bergantung kepada suplemen alternatif yang mungkin memburukkan lagi keadaan.

"Untuk itu, komunikasi konsisten dengan doktor dan menetapkan matlamat yang pesakit mahu capai dengan rawatan dijalani juga penting bagi memastikan mereka menerima jagaan rapi sesuai dengan keadaan," katanya.

Malah kedua-dua pakar itu turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan tabiat gaya hidup mereka selain perlu mengamalkan diet yang sihat dan seimbang.

Orang ramai juga disarankan supaya kerap bersenam dan berwaspada akan kesan pengambilan sesetengah ubat.

"Apapun, pesakit yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kanser payudara atau mendapatkan rawatan, jangan bertangguh dan perlu berbuat demikian secepat mungkin," kata Dr Hafizah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:00 AM