MAMOGRAM selamat dilakukan terhadap penghidap kanser yang hamil.
MAMOGRAM selamat dilakukan terhadap penghidap kanser yang hamil.
PENGHIDAP kanser wanita berupaya melahirkan bayi sihat.
PENGHIDAP kanser wanita berupaya melahirkan bayi sihat.
PENGHIDAP kanser wanita berupaya melahirkan bayi sihat.
PENGHIDAP kanser wanita berupaya melahirkan bayi sihat.
Zaitie Satibi

Kanser ketika kehamilan jarang berlaku dan insidennya dianggarkan kira-kira seorang dalam 1,000 wanita mengandung. Secara amnya, kemungkinan seseorang itu mendapat kanser meningkat seiring dengan usia, tambahan pula ramai wanita zaman sekarang mengandung ketika usia lewat 30-an dan 40-an yang meningkatkan lagi insiden kanser dalam kalangan wanita mengandung.

Kanser yang biasa ditemui dalam wanita hamil juga sama dengan pesakit lain yang lebih muda seperti kanser payudara, kanser serviks (pangkal rahim), kanser tiroid, limfoma dan melanoma. Bagaimanapun, kanser yang paling kerap ditemui dalam kalangan wanita hamil adalah kanser payudara iaitu kira-kira satu dalam 3,000 kehamilan.

Perunding Pakar Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway (SunMed) Dr Christina Lai berkata, tiada punca dan kesan yang jelas dikaitkan antara kanser dengan kehamilan. Beberapa kajian kanser payudara mendapati majoriti kanser payudara yang didiagnosis ketika hamil adalah reseptor hormon yang negatif.

Ini bermaksud, ia tidak bergantung pada kadar tinggi hormon wanita yang hadir ketika mengandung. Oleh itu, tiada bukti menunjukkan bahawa terdapat perubahan dalam pesakit mengandung yang mendedahkan mereka kepada pembentukan kanser. Wanita yang menghidap kanser ketika hamil adalah insiden kebetulan.

Menurutnya, segelintir kanser mungkin merebak ke plasenta yang menghubung dan menyalurkan makanan daripada ibu kepada bayi, namun kebanyakan kanser tidak merebak terus kepada janin. Begitupun, rawatan kanser yang lebih dikhuatiri kerana ia berpotensi menjejaskan janin dalam kandungan.

“Biasanya diagnosis kanser dalam kalangan wanita hamil lewat usia dilakukan berikutan beberapa simptom kanser dianggap gejala biasa berkaitan dengan kehamilan. Contohnya, penghidap yang hamil mungkin mengalami payudara bengkak, loya dan muntah-muntah, perut kembung, sakit kepala dan sembelit. Tanda-tanda kanser boleh terlepas pandang disebabkan simptom kehamilan.

“Jika bonjolan ditemui pada payudara atau leher, pesakit hamil boleh menjalani imbasan ultrabunyi yang tidak membabitkan radiasi. Di sesetengah hospital, pesakit menjalani mammogram untuk memeriksa bonjolan kerana ia dikatakan selamat berikutan terdapat lapisan perlindungan untuk mengurangkan radiasi terhadap janin.

“Ujian biopsi juga dikatakan selamat untuk pesakit hamil yang disyaki mendapat kanser nodul limfa atau kelenjar tiroid, manakala ujian pap smear untuk kanser serviks,” katanya.

Katanya, imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi memeriksa abdomen atau pelvis seboleh-bolehnya cuba dielakkan ke atas pesakit hamil kerana radiasi berion yang digunakan mungkin menjejaskan janin. Bagaimanapun, imbasan CT pada kepala dan leher boleh diteruskan dengan lapisan perlindungan dipasang pada bahagian abdomen.

Alat pemeriksaan lain yang menggunakan radiasi berion seperti tomografi pancaran positron (PET), tetapi ada juga peralatan yang tidak menggunakan radiasi berion seperti pengimejan resonans bermagnet (MRI) yang dikatakan selamat.

Dr Christina berkata, ramai orang salah anggap mengenai kanser dan kehamilan apabila mendakwa pesakit hamil perlu menggugurkan kandungan mereka bagi mengelak keadaan kesihatan lebih buruk.

“Rawatan kanser bagi penghidap hamil adalah kompleks dan menyulitkan. Oleh itu pasukan perubatan terbabit perlu membuat perbincangan yang telus bersama pesakit mengenai pilihan rawatan. Beberapa ubat kemoterapi dikatakan selamat digunakan selepas trimester pertama, malah ada juga pembedahan yang dikatakan selamat pada akhir kehamilan.

“Ketika banyak kajian dilakukan untuk mengumpul data dan maklumat penghidap kanser hamil, ramai antara mereka mampu bersalin dan melahirkan bayi sihat.

“Oleh itu, penghidap kanser yang mengandung masih boleh menjalani rawatan dan meneruskan kehamilan. Apapun, keputusan untuk mengandung ketika menghidap kanser bergantung pada pesakit berkenaan. Seandainya mahu meneruskan hasrat untuk hamil, mereka perlu berbincang dengan doktor supaya penjagaan sewajarnya boleh dilakukan,” katanya.

Pasukan perubatan yang biasanya terbabit dalam penjagaan kompleks penghidap kanser yang hamil adalah pakar perbidanan dan sakit puan, pakar onkologi, pakar neonatologi dan pakar kanak-kanak. Banyak faktor perlu dipertimbangkan apabila membuat keputusan untuk rawatan semua penghidap kanser.

Bagi penghidap kanser hamil, doktor perlu mempertimbangkan manfaat apa saja rawatan kanser kepada ibu dengan sebarang risiko yang boleh menjejaskan perkembangan bayi. Pilihan rawatan bergantung pada keseluruhan masalah kesihatan pesakit, jenis, lokasi, saiz dan tahap kanser serta tahap kandungan. Malah, permintaan pesakit dan anggota keluarganya juga perlu diambil kira. Oleh itu, adalah penting membuat perbandingan pilihan rawatan terbaik terhadap risiko yang mungkin menimpa bayi yang semakin membesar.

Katanya, penangguhan rawatan bagi penghidap kanser hamil bergantung pada jenis dan tahap kanser serta tahap kandungan. Keputusan untuk menangguhkan rawatan juga perlu dibuat bersama rundingan pasukan perubatan. Sebaliknya, rawatan akan disegerakan dalam kes tertentu sekiranya penyakit itu mengancam nyawa pesakit.

“Penghidap kanser yang menjalani rawatan kemoterapi tidak digalak menyusukan bayi mereka berikutan ubat kemoterapi boleh berpindah kepada bayi menerusi susu ibu. Begitu juga rawatan terapi sasaran atau terapi hormon apabila kesan ubat juga boleh meresap ke dalam susu ibu.

“Namun demikian, pesakit kanser boleh memberikan susu badan jika melakukan rawatan radioterapi yang tidak membabitkan payudara atau sebelah payudara saja,” katanya.

Rawatan bagi penghidap kanser hamil

1.Pembedahan

Pembedahan dikatakan rawatan paling selamat bagi beberapa jenis kanser, manakala kemoterapi dijalankan sebelum pembedahan untuk mengecutkan saiz kanser bagi memudahkan pembedahan.

Secara amnya, trimester kedua dikatakan waktu paling selamat untuk pembedahan berikutan risiko keguguran dan kelahiran pramatang adalah rendah. Doktor tidak saja akan mempertimbangkan kaedah mana yang paling selamat, malah pembedahan mana yang paling wajar untuk jenis kanser yang dihadapi seperti mastektomi (pembuangan payudara) atau lumpektomi (pembuangan bahagian yang berkanser) dalam kalangan pesakit kanser payudara.

2.Kemoterapi

Kemoterapi ketika trimester pertama cuba dielak kerana ia tempoh penting untuk pembentukan organ dalaman bayi dalam kandungan. Namun, kemoterapi yang dilakukan ketika trimester kedua dilaporkan selamat untuk pesakit hamil.

Hanya ubat kemoterapi tertentu diguna berdasarkan rawatan lalu yang berjaya dilakukan dalam kalangan pesakit kanser yang hamil dan melahirkan bayi yang sihat. Doktor akan cuba tidak melakukan rawatan kemoterapi pada penghujung trimester ketiga supaya tidak timbul komplikasi ketika hampir waktu kelahiran.

3. Radioterapi

Oleh kerana tidak banyak kajian penggunaan radioterapi dalam kalangan penghidap kanser hamil, doktor seboleh-bolehnya tidak mengesyorkan rawatan ini berikutan dos radiasi yang digunakan untuk rawatan kanser adalah lebih tinggi berbanding untuk kegunaan diagnosis.

4. Terapi sasaran atau terapi hormon

Kedua-dua terapi ini dielak pelaksanaannya ketika penghidap

kanser hamil kerana kesan sampingan ubatannya terhadap perkembangan bayi tidak diketahui sepenuhnya. Oleh itu, ia akan dilakukan selepas bayi dilahirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:03 AM