TELEPERUBATAN membolehkan pakar berbincang dan memeriksa pesakit menggunakan video.
TELEPERUBATAN membolehkan pakar berbincang dan memeriksa pesakit menggunakan video.
DR Wong (kiri) menjelaskan kepada Dr Noor Hisham mengenai aplikasi telefon pintar yang mengesan kadar denyutan jantung.
DR Wong (kiri) menjelaskan kepada Dr Noor Hisham mengenai aplikasi telefon pintar yang mengesan kadar denyutan jantung.
SEKTOR kesihatan tempatan perlu lebih inovatif dan sedia ubah amalan semasa.
SEKTOR kesihatan tempatan perlu lebih inovatif dan sedia ubah amalan semasa.
Oleh Zaitie Satibi


Teleperubatan adalah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menyediakan penjagaan kesihatan klinikal jarak jauh. Ia membantu menghapuskan halangan jarak dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan yang sering tidak konsisten terutama di kawasan luar bandar yang terpencil.

Menurut Persatuan Teleperubatan Amerika (ATA), teleperubatan ditakrifkan sebagai penggunaan pertukaran maklumat perubatan dari satu tempat ke tempat lain menerusi komunikasi elektronik untuk meningkatkan taraf kesihatan klinikal pesakit.

Teleperubatan termasuk perkembangan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan menggunakan video dua hala, e-mel, telefon pintar dan lain-lain bentuk teknologi telekomunikasi.

Bermula lebih 40 tahun lalu dengan demonstrasi dilakukan beberapa hospital yang melanjutkan rawatan kepada pesakit di kawasan pedalaman, penggunaan teleperubatan meluas dengan cepat dan kini diintegrasikan ke dalam operasi yang sedang berjalan di hospital, jabatan khusus, agensi kesihatan, pejabat doktor swasta serta rumah dan tempat kerja pengguna.

Perkhidmatan ditawarkan teleperubatan merangkumi penjagaan utama dan rujukan pakar atau kumpulan profesional yang membabitkan rundingan bersama pesakit termasuk mendiagnosis. Ini menggunakan video interaktif secara langsung, penghantaran imej diagnostik dan klip video mengenai data pesakit untuk semakan.

Teleperubatan juga membantu pantau pesakit dengan penggunaan peranti untuk mengumpul dan menghantar data kepada doktor atau agensi kesihatan untuk penilaian pesakit seperti tahap glukosa darah, pengiraan jantung atau pelbagai masalah kesihatan berkaitan pesakit yang terlantar di rumah.

Teknologi ini juga memudahkan pengguna mendapatkan maklumat kesihatan khusus dan kumpulan perbincangan dalam talian untuk menyediakan sokongan menerusi Internet untuk mereka.

Malah, pendidikan perubatan yang menyediakan kredit pendidikan perubatan berterusan untuk pengamal kesihatan dan seminar pendidikan perubatan khas untuk kumpulan sasaran di lokasi terpencil juga dapat disampaikan menerusi komunikasi elektronik.

Teleperubatan kini berkembang dengan pantas disebabkan ia menawarkan empat manfaat asas. Kemudahan ini menawarkan akses lebih baik kepada pesakit apabila selama lebih 40 tahun digunakan untuk membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pesakit di lokasi yang jauh.

Bukan sahaja teleperubatan meningkatkan akses kepada pesakit, ia juga membolehkan pakar perubatan dan kemudahan kesihatan untuk mengembangkan perkhidmatan mereka sekali gus mencapai kapasiti yang unik untuk meningkatkan perkhidmatan kepada berjuta-juta pesakit baru.

Kecekapan kos juga punca teknologi teleperubatan diterima pakai kerana ia mengurangkan belanja penjagaan kesihatan dan meningkatkan kecekapan melalui pengurusan yang lebih baik penyakit kronik, perkongsian kakitangan profesional kesihatan, masa perjalanan dikurangkan dan penginapan hospital lebih singkat.

Kajian secara konsisten menunjukkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disampaikan melalui teleperubatan adalah sama baik seperti rundingan bersemuka. Dalam kepakaran tertentu terutama dalam kesihatan mental dan penjagaan rawatan rapi, teleperubatan memberikan hasil lebih baik.

Kesan paling besar teleperubatan adalah kepada pesakit, keluarga dan komuniti mereka berikutan menggunakan teknologi teleperubatan mengurang­kan masa perjalanan dan tekanan yang berkaitan untuk pesakit. Sejak 15 tahun yang lalu, kajian demi kajian mendokumenkan kepuasan pesakit dan sokongan untuk perkhidmatan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, inovasi diperlukan bagi mengubah landskap sektor kesihatan sedia ada termasuk perlu beralih daripada pendekatan normatif dan menerima model baru dengan me­ngambil kira perspektif tempatan dan sejarah, di samping memelihara keutuhan sistem semasa.

Pihak dalam sektor awam dan swasta yang membentuk sistem kesihatan perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk mencetus pembaharuan dengan nilai-nilai inovasi. Terdapat keperluan untuk meningkatkan perkongsian pintar yang membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama.

Malah, penggunaan sumber kesihatan yang terdapat di sektor awam dan swasta perlu dioptimumkan dengan memperkukuhkan mekanisme kerjasama. ICT memainkan peranan penting dalam sistem penyampaian penjagaan kesihatan hari ini dan akan datang, malah ia antara teras strategik bagi Rancangan Malaysia Ke-11 pada 2016 hingga 2020.

“Saya ingin mengete­ngahkan beberapa potensi IT dalam penjagaan kesihatan terutamanya dalam menangani sebahagian daripada cabaran seperti akses dan perkhidmatan sedia ada yang bergantung kepada kewangan, organisasi dan halangan sosial atau budaya yang mengehadkan penggunaan perkhidmatan.

“Isu yang menjejaskan akses dan perkhidmatan sedia ada termasuk jurang antara bandar dan desa, perkhidmatan awam dan swasta, kekangan tenaga kerja serta kepakaran. Oleh itu, ICT mempunyai potensi untuk merapatkan jurang berkenaan, me­ngurangkan kos penjagaan kesihatan dan menjadi sumber pelengkap serta menggantikan beberapa aspek kesihatan dalam perkhidmatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya ketika merasmikan Seminar Teleperubatan yang pertama anjuran Universiti Monash dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) dan Pusat Perubatan Sunway (SunMed) di Subang Jaya, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Profesor Madya Dr Wong Chee Piau, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Universiti Monash, Profesor Helen Bartlett, Pengarah Urusan SunMed, Lau Beng Long dan Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim.

Seminar berkenaan menarik penyertaan syarikat dan pembekal perubatan yang membincangkan isu dan topik yang signifikan serta boleh menggerakkan penjagaan kesihatan di Malaysia kepada zaman teknologi maklumat.

Ini diikuti dengan forum interaktif dan ceramah berkaitan dengan pelaksanaan teleperubatan di negara ini, peranan media sosial dalam telekesihatan dan potensi negara ini sebagai hab teleperubatan global.

Dr Noor Hisham berkata, peluasan serantau, konsep rangkaian penjagaan dan perkhidmatan telekesihatan yang akan memudahkan akses kepada penjagaan khusus juga perlu dilaksanakan sepenuhnya.

Oleh itu, ICT adalah pra­syarat sistem kesihatan yang distrukturkan semula dan penggunaan rekod perubatan elektronik akan mencerahkan peluang untuk meningkatkan kesinambungan dan penjagaan terselaras serta membangunkan ke­upayaan pengurusan prestasi berdasarkan sasaran, perlindungan dan petunjuk prestasi utama.

“Pada masa depan, penjagaan pesakit berpusat dengan data yang dimiliki oleh pesakit. Pemusatan data juga sedang disusun untuk projek Rekod Kesihatan Hayat dan Gudang Data Kesihatan Malaysia. Kedua-dua akan mempunyai portal untuk pengguna atau pesakit.

“Peluang untuk teknologi mudah alih memainkan peranan rasmi dalam perkhidmatan kesihatan, adalah tidak dapat dinafikan. Ini adalah potensi yang besar untuk penggalakan dan pencegahan pendekatan penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.

Katanya, penggunaan telefon pintar adalah jauh melebihi 100 peratus di Malaysia dan dianggarkan 55 peratus daripada warga negara di dunia memiliki satu. Pesakit dengan pengetahuan, dibantu oleh alat komunikasi ini dikaitkan dengan kesan positif kepada perubahan tingkah laku dan pengurusan penjagaan diri pesakit.

Antara kegunaan teknologi telefon bimbit termasuk penulisan teks peringatan, penulisan teks pendidikan kesihatan, rundingan dan kaunseling dalam talian, penggunaan accelerometer untuk senaman, fisioterapi dan latihan berjalan, kamera untuk pemeriksaan mata dan jantung serta diari epilepsi.

Malah, telefon bimbit dengan teleperubatan ini juga dapat digunakan untuk mendiagnosis jangkitan telinga, mengesan rentak jantung, kesihatan mental, pemeriksaan gula, bacaan tekanan darah dan pengimejan kolposkopik.

“Pada masa lalu, kementerian secara tradisinya mengambil pendekatan keseluruhan dalam memacu inovasi penjagaan kesihatan, namun pendekatan ini perlahan, tidak cekap dan banyak cabaran. Situasi penjagaan kesihatan di Malaysia adalah kompleks dan pelbagai.

“Sekurang-kurangnya 40 peratus perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia disediakan oleh sektor swasta. Kerjasama antara dua sektor itu akan dipertingkatkan supaya dapat menambah kecekapan dan menghasilkan kerja lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, peta strategik National Internet of Things (IoT) yang dilancarkan pada Julai lalu juga menumpukan pada pen­jagaan kesihatan sebagai satu daripada projek utamanya dan CREST yang mengetuai pelaksanaan projek itu kelak.

Berdasarkan kajian dilakukan Bloomberg pada 2013, Malaysia adalah antara 20 negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang paling cekap berasaskan tiga kriteria iaitu jangka hayat, kos penjagaan kesihatan per kapita mutlak dan relatif.

Pada 2014, kajian dilakukan International Living yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyatakan sistem penjagaan kesihatan Malaysia berada di tempat ketiga selepas Perancis dan Uruguay daripada 24 negara dalam Indeks Persaraan Global. Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam menangani kesihatan ibu dan membanteras HIV serta malaria.

“Apapun kejayaan dikecapi, kita tidak boleh leka kerana sistem sedia ada mungkin tidak berdaya tahan dalam jangka panjang, dengan populasi warga emas, peningkatan penyakit kronik dan kos kesihatan yang meningkat pantas serta perbelanjaan di luar jangkaan.

“Perbelanjaan kesihatan keseluruhan dalam peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM8.303 juta atau 2.95 peratus pada 1997 kepada RM44.748 juta (4.53 peratus) pada 2013.

“Dibandingkan dengan perbelanjaan kesihatan antara sektor awam dan swasta, nisbah berterusan pada lebih 52 peratus bagi sektor awam dan lebih 47 peratus bagi sektor swasta dalam tempoh 1997 hingga 2013.

“Pada 2013, sebanyak 81.13 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan swasta adalah perbelanjaan di luar jangkaan dan meningkatkan risiko ancaman bencana beban kewangan akibat penyakit,” katanya.

Cabaran dalam me­nyampaikan penjagaan kesihatan di Malaysia termasuk peningkatan populasi warga emas yang dijangka bertambah 15 peratus pada 2030, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) sebagai punca utama kematian dan morbiditi, perubahan corak penyakit, sosio demografi dan kemunculan penyakit baru serta memastikan ekuiti dalam kesihatan untuk golongan kurang bernasib baik.

Sementara itu, Dr Wong berkata, kawasan luar bandar di negara ini sering tidak menerima penjagaan kesihatan yang terbaik kerana isu akses dan lain-lain masalah. Dengan teleperubatan, pihaknya berhasrat untuk merapatkan jurang ini dan memastikan akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan untuk semua.

“Kami juga membuat penyelidikan mengenai penggunaan teknologi yang kreatif dan popular seperti permainan video dalam pemulihan maya untuk kecederaan kepala untuk kanak-kanak dan strok untuk dewasa.

“Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia pada masa depan boleh diwujudkan dengan memanfaatkan teknologi dinamik zaman maklumat.

Dengan menggunakan teknologi ini bagi menyokong matlamat dan misi penjagaan kesihatan kebangsaan, Malaysia boleh diletakkan dalam hab serantau untuk teleperubatan di negara Asia Tenggara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:01 AM