KHIDMAT teleperubatan dekatkan kawasan terpencil dengan akses kesihatan.
KHIDMAT teleperubatan dekatkan kawasan terpencil dengan akses kesihatan.
Zaitie Satibi


PENYAKIT kardiovaskular (CVD) menjadi isu kesihatan yang paling membimbangkan di Malaysia. Malah, statistik kebangsaan terbaharu menunjukkan CVD masih kekal sebagai punca utama kematian di negara ini apabila merangkumi hampir 16 peratus bagi keseluruhan punca kematian tahun lalu.

Penyakit serebrovaskular termasuk strok dicatat pada tangga ketiga dan menjadi punca sebanyak 7.3 peratus daripada keseluruhan kematian pada tempoh sama.

Peningkatan mendadak sebanyak 54 peratus dan 47 peratus dikenal pasti bagi kadar kematian berpunca daripada penyakit jantung koronari (CHD) dan strok dalam tempoh 10 tahun bermula 2007 hingga 2017. Kes CHD saja merekodkan sebanyak 13,503 kematian pada 2017 berbanding 8,776 kes pada 2007.

Dalam masa beberapa tahun akan datang seiring dengan peralihan demografi Malaysia kepada masyarakat yang semakin berusia, insiden serangan jantung dan strok berpotensi untuk berlaku dengan kerap dan banyak.

LAPORAN Jantung Sihat, Penuaan Sihat dibentangkan (dari kiri) Dr Sim, Dr Feisul dan Dr Sazzli.
LAPORAN Jantung Sihat, Penuaan Sihat dibentangkan (dari kiri) Dr Sim, Dr Feisul dan Dr Sazzli.

Situasi sebegini boleh menambahkan lagi bebanan ekonomi dan dengan kos penjagaan kesihatan yang kini kian meningkat. Ia akan menambahkan lagi tekanan terhadap struktur pengurusan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Satu hospital pakar di Malaysia melaporkan institusi perkhidmatan penjagaan kesihatan terpaksa menanggung kos perubatan langsung berjumlah kira-kira RM5,000 bagi setiap kemasukan pesakit strok yang menjalani rawatan di hospital.

Selepas itu, pesakit biasanya akan berbelanja sekitar 40 peratus daripada pendapatan mereka untuk rawatan pemulihan walaupun ada subsidi kerajaan bagi penjagaan kesihatan pesakit yang tinggal di hospital.

Baru-baru ini, Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd (Bayer) mengeluarkan Laporan Jantung Sihat, Penuaan Sihat edisi untuk negara ini sempena sambutan 10 tahun pembabitan syarikat farmaseutikal berkenaan dalam penjagaan kesihatan jantung rakyat Malaysia.

Laporan itu dijalankan dengan kerjasama bahagian keusahawanan Universiti Kebangsaan Singapura, NUS Enterprise yang memperincikan beban CVD dalam sistem kesihatan negara yang kini semakin meningkat seiring dengan pertambahan usia rakyat Malaysia.

Dalam laporan itu, ia menyarankan penerimagunaan teknologi yang inovatif dan terapi melalui kerjasama berterusan dengan kerajaan, orang awam, swasta dan komuniti untuk mencapai taraf pencegahan, rawatan dan penjagaan CVD yang lebih baik.

Mengulas mengenai beban CVD di Malaysia, Pengarah Perubatan Bahagian Bayer Pharmaceuticals Singapura dan Malaysia, Dr Kenneth Sim berkata, inovasi dalam perubatan dan teknologi membawa kepada penambahbaikan luar biasa dalam penjagaan penyakit kardiovaskular sejak beberapa dekad lalu.

Bagaimanapun, peralihan demografi Malaysia ke populasi yang semakin berusia mendorong rakyatnya memerlukan era baharu inovasi kesihatan yang menumpu terhadap menghalang perkembangan penyakit dan menyediakan penjagaan lebih baik untuk membantu pesakit serta masyarakat menangani beban penyakit.

“Kami akan terus memberi tumpuan bagi membangunkan penyelesaian inovatif untuk pesakit CVD dan penjaga mereka dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

“Malah, kami berharap pandangan yang dikumpul melalui laporan Malaysia ini dapat mendorong kerjasama yang luas antara pelbagai sektor berkaitan untuk menyokong sistem kesihatan yang mapan.

“Ini dapat dicapai dengan penerimagunaan inovasi kesihatan dan terapi bagi mencegah kesan serius penyakit kardiovaskular,” katanya.

Menurut Dr Sim, pihaknya juga komited terhadap membangunkan penyelesaian inovatif melalui pembangunan dan kajian yang intensif.

Usaha berkenaan membawa kepada penemuan penting dengan pengenalan pilihan rawatan baru seperti pencegahan tromboembolisme vena (VTE) susulan pembedahan elektif keseluruhan lutut dan penggantian tulang pinggul; pencegahan strok berkaitan pemfibrilan atrium; rawatan bagi trombosis vena dalam (DVT) dan pencegahan DVT; embolisme pulmonari berulang dan rawatan embolisme pulmonari.

“Sejak 10 tahun lalu, seramai 3.4 juta pesakit di Malaysia mendapat manfaat daripada terapi kami, dirawat dan dilindungi secara efektif daripada CVD.

Ini akan terus mendorong kami dalam penyediaan penyelesaian berkualiti dan berkesan untuk pesakit CVD serta penjaga mereka.

“Peranan teknologi dan terapi yang berinovasi sangat penting dalam menyokong Rancangan Strategik Kebangsaan Bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NSP-NCD) yang merangkumi penjagaan utama dan inisiatif lain di peringkat komuniti.

“Laporan itu juga menekankan tiga perkara teras dalam inovasi kesihatan bagi mengawal kadar CVD yang semakin meningkat. Perkara berkenaan adalah Inovasi Kesihatan Digital, Ubat-ubatan Baru Berasaskan Bukti dan Penyelesaian Teleperubatan,” katanya.

TIDAK SEDIA UBAH GAYA HIDUP

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan, ramai yang tidak menjalani pemeriksaan pada peringkat awal penyakit dan ini menyebabkan kadar CVD yang tidak didiagnosis berada pada tahap yang tinggi walaupun program saringan kesihatan tersedia di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, sikap dan pemikiran orang ramai apabila kadar kesanggupan untuk mengubah gaya hidup dan mendapatkan rawatan didapati masih rendah. Kadar pematuhan pengambilan ubat bagi pesakit tekanan darah tinggi yang sedang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan primer juga hanya kira-kira 53 peratus.

“Kita memerlukan cara inovatif untuk memperbetulkan sikap dan cara pemikiran orang ramai. Walaupun mereka mempunyai maklumat secukupnya atau sudah pun didiagnosis dan ditawarkan rawatan percuma, ramai tetap membuat pilihan yang bertentangan dengan kesihatan masing-masing.

“Selain itu, kita perlu jalankan kajian mengapa orang ramai mengambil keputusan sedemikian. Kami kini bekerjasama dengan beberapa pereka kesihatan digital untuk meneliti cara untuk membantu orang ramai mengubah gaya hidup dan meningkatkan kepatuhan pengambilan ubat.

“Menyediakan maklumat dan nasihat khas dan tersuai mengikut keperluan gaya hidup individu adalah penting untuk memangkinkan perubahan,” katanya.

Katanya, beliau juga yakin bahawa inovasi kesihatan digital mempunyai potensi tinggi untuk mengubah sikap orang ramai.

Bagaimanapun, ada keperluan untuk memahami motivasi seseorang supaya mereka terus menggunakan alat kesihatan digital dan juga mengatasi sikap masyarakat yang kurang berminat dengan teknologi supaya penggunaan teknologi tidak terbantut.

Sementara itu, kawalan CVD berada bawah aras optimum kerana kadar penggunaan terapi pencegahan yang baru adalah rendah. Memandangkan terapi ubat antikoagulan yang baru tidak mempunyai subsidi kerajaan, ramai pesakit masih terus mengambil ubat-ubatan lama.

Dalam kes warfarin iaitu sejenis ubat antikoagulan lama untuk pencegahan strok, pengurusan pesakit lebih teliti selain pemeriksaan dan pemantauan berterusan diperlukan oleh penyedia penjagaan kesihatan.

Ini kerana, kerumitan dalam penggunaan warfarin juga boleh menyebabkan pesakit kurang patuh dalam pengambilan ubat itu.

Merujuk kepada penggunaan ubatan, Ketua Bahagian Kardiologi Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sazzli Kasim berkata, ada ruang untuk sedia menggunakan ubatan yang mempunyai bukti baharu.

“Ini bagi mencegah serangan jantung yang serius, mencapai kawalan penyakit yang lebih baik dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan.

“Walaupun kos sering menjadi halangan, melabur dalam penyelidikan untuk menjana data tempatan keberkesanan kos akan meyakinkan pembuat dasar untuk menggunakan terapi inovatif seperti ini dalam sistem kesihatan awam,” katanya.

PENDIDIKAN JARAK JAUH

Laporan berkenaan juga menyebut bahawa penumpuan pakar penjagaan kesihatan primer dalam sektor swasta dan di kawasan bandar besar menyebabkan kekurangan pegawai perubatan bertauliah di pusat kesihatan awam terutamanya di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, teleperubatan dikenal pasti sebagai cara berkesan menangani masalah terbabit.

Rawatan Teleprimari iaitu teleperundingan dan penyelesaian pendidikan jarak jauh untuk profesional penjagaan kesihatan akan menghubungkan doktor dan jururawat di kawasan pedalaman dengan kumpulan pakar bagi mendapatkan nasihat serta menghantar keputusan ujian kepada pusat rawatan pakar untuk ditafsir dengan lebih teliti.

Hanya pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan akan dipindahkan ke hospital lain. Penjimatan yang ketara boleh dilihat dari segi masa dan kos bagi pesakit dan sistem penjagaan kesihatan.

Melalui pengenalan pendidikan jarak jauh, doktor yang bertugas di pusat kesihatan pedalaman akan dilatih dan diberi maklumat terkini berkaitan pencapaian baharu dalam bidang kesihatan. Ini meningkatkan kecekapan dan kebolehan mereka dan seterusnya menyediakan penjagaan yang lebih menyeluruh kepada pesakit.

Kesimpulannya, laporan itu mendapati dalam usaha Malaysia untuk menjayakan rancangan penjagaan kesihatan yang universal, cabaran seperti jurang rawatan penjagaan kesihatan untuk golongan kurang bernasib baik, mengubah minda dan sikap melalui penggunaan teknologi, membangunkan telekesihatan serta mendesak pembaharuan penjagaan kesihatan perlu ditangani dahulu.

Dalam memastikan inovasi kesihatan untuk berkembang maju di negara ini dan memberi hasil terbaik untuk semua, kerjasama antara pelbagai sektor dan usaha sama pada peringkat kebangsaan dan kerajaan amat penting.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 5:10 AM