Dr Mohd Shukri (tengah) menerima sijil akreditasi untuk MSUMC sambil disaksikan Dr Abdul Rahim (empat dari kiri) bersama pengurusan kanan MSUMC.
Dr Mohd Shukri (tengah) menerima sijil akreditasi untuk MSUMC sambil disaksikan Dr Abdul Rahim (empat dari kiri) bersama pengurusan kanan MSUMC.

Pusat Perubatan MSU (MSUMC) menerima akreditasi penuh bagi tempoh empat tahun dari Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) sebagai perakuan dalam mencapai dan memenuhi piawai kualiti perkhidmatan sertakeselamatan penjagaan kesihatan.

Hadir menyampaikan sijil akreditasi kepada Pengasas MSUMC Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid ialah Ketua Pegawai Eksekutif MSQH Profesor Datuk Dr Abdul Rahim.

Majlis penyerahan sijil turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC Zahri Abd Ghani, Pengarah Perubatan MSUMC Professor Dr Badrisyah Idris dan kakitangan MSUMC.

Menurut Dr Mohd Shukri, akreditasi MSQH ini adalah permulaan kepada perjalanan MSUMC mencapai visinya, 'Caring, Healing, Educating' iaitu bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang transformatif, berkualiti dan terkemuka di Malaysia serta rantau Asia melalui penggunaan teknologi yang inovatif untuk kesejahteraan semua.

"MSUMC adalah hospital pakar swasta pertama yang dibina khas untuk melengkapi peranan Management & Science University (MSU) melalui International Medical School (IMS), yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) selama lima tahun sama ada di kampus induk di Shah Alam atau kampus pesisir antarabangsa di Bangalore, India," katanya yang juga presiden MSU.

Program Akreditasi Hospital oleh MSQH menyediakan kaedah efektif dan efisyen dalam menilai tahap kualiti serta keselamatan organisasi kesihatan menurut standard kebangsaan yang ditetapkan.

Malah program ini dibangunkan golongan profesional dunia perubatan dan aplikasinya diterima serta diiktiraf di seluruh Malaysia.

Pada masa sama MSQH yang dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia serta Persatuan Perubatan Malaysia adalah satu-satunya organisasi yang diiktiraf KKM sebagai badan akreditasi untuk kemudahan penjagaan kesihatan primer dan perkhidmatan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 1:19 PM