ADA pesakit diabetes tidak melakukan pemantauan bacaan glukosa di rumah seperti
ADA pesakit diabetes tidak melakukan pemantauan bacaan glukosa di rumah seperti
Fairul Asmaini Mohd Pilus


"DIABETES? Berhenti makan makanan manis dan ambil makanan tambahan (suplemen). Jadi, tidak perlu lagi ambil ubat doktor."

Perbualan sebegitu sering kita dengari dan ada yang tidak segan silu mengatakan pengambilan ubat tradisional lebih mujarab berbanding ubat diberikan doktor di hospital.

Namun, sejauh mana kita mengetahui mengenai diabetes dan apakah sangkaan selama ini mengenai penyakit itu adalah benar?

Pakar Endokrinologi dan Perubatan KPJ Selangor, Dr Wan Juani Datuk Wan Seman berkata, kencing manis ataupun diabetes mellitus adalah penyakit kronik di mana tahap gula ataupun glukos dalam darah adalah tinggi.

Penyakit itu disebabkan fungsi pankreas yang terjejas dan tidak dapat menghasilkan insulin secukupnya untuk mengawal glukos dalam darah.

Kata beliau, ramai tidak mengetahui bahawa rintangan insulin dalam badan dan penghasilan glukosa yang berlebihan daripada hati boleh menjadi antara faktor menyebabkan seseorang itu menghidap kencing manis.

"Prevalen penyakit kencing manis di negara ini adalah sebanyak 16.8 peratus, meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai pesakit kencing manis tertinggi antara negara di Asia Tenggara.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah ramai golongan muda yang tidak menyedari bahawa mereka turut menghidap diabetes,"

katanya.

Mengulas lanjut Dr Wan Juani berkata, adalah menjadi kesilapan jika menyangka penyakit diabetes hanya dihidapi golongan berusia atau individu yang mempunyai masalah obesiti.

Ini kerana golongan muda juga tidak terkecuali untuk menghidap penyakit kronik yang kekal seumur hidup itu.

Kata Dr Wan Juani, ramai pesakit mengambil mudah apabila menghidap diabetes dan tidak menyedari bahawa penyakit itu sebenarnya adalah pembunuh senyap.

Katanya, ramai pesakit diabetes tidak mempunyai simptom atau mengalami simptom awal yang kurang jelas.

"Keadaan itu menyebabkan pesakit kurang memberikan penekanan terhadap pengawalan diabetes dan akhirnya mendapat komplikasi seperti masalah penglihatan, kegagalan buah pinggang, masalah jantung dan masalah saraf.

"Tidak ada cara untuk berpatah balik kepada keadaan asal apabila komplikasi sudah berlaku," katanya.

Menurut Dr Wan Juani lagi, ada lima kesalahan yang sering dilakukan pesakit kencing manis iaitu mengurangkan pengambilan air manis, tetapi tidak mengurangkan makanan berkarbohidrat dan buah-buahan manis.

Katanya, ramai pesakit diabetes hanya mengurangkan air manis dan tidak menyedari bahawa makanan yang berkarbohidrat turut menyebabkan kenaikan paras gula dalam badan.

"Pesakit perlu mengurangkan makanan yang berkarbohidrat seperti nasi campur, nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, kuetiau, laksa, kuih-muih Melayu dan biskut.

"Kebanyakan makanan itu ada kandungan gula dan karbohidrat yang tinggi, tetapi masih ramai pesakit yang tidak faham konsep pemakanan pesakit diabetes.

"Pesakit seharusnya mengurangkan pengambilan karbohidrat dan mengamalkan pemakanan yang seimbang selain perlu dirujuk kepada pakar pemakanan bertauliah di awal diagnosis supaya mereka mendapat nasihat tepat di peringkat awal," katanya.

KURANGKAN makanan berkarbohidrat dan buah-buahan manis.
KURANGKAN makanan berkarbohidrat dan buah-buahan manis.

Selain itu, ada pesakit diabetes yang menggantikan ubat kencing manis dengan rawatan alternatif atau rawatan herba.

Rawatan alternatif sememangnya popular di negara ini dan ramai beranggapan ia lebih baik kerana dihasilkan daripada bahan semula jadi.

Dr Wan Juani berkata, semua ubat-ubatan hospital sudah menjalani kajian saintifik secara global sebelum diluluskan penggunaannya bagi memastikan ia selamat dan tidak memudaratkan pesakit.

"Keadaan itu jelas berlainan dengan rawatan alternatif atau tradisional yang tidak menjalankan kajian komprehensif dan lebih membabitkan testimoni pesakit sahaja," katanya.

Jelas Dr Wan Juani, masyarakat termasuk pesakit diabetes ada yang mempercayai mitos bahawa ubat kencing manis dan ubat perubatan moden lain boleh merosakkan buah pinggang.

Sedangkan kata beliau, dakwaan itu tidak benar kerana diabetes adalah penyakit kronik.

"Sekiranya diabetes ini tidak mencapai kawalan yang optima, tahap gula sentiasa tinggi dalam badan menyebabkan perubahan metabolik kritikal dan keradangan akhirnya menyebabkan kerosakan buah pinggang.

"Untuk itu, ubat diberikan doktor adalah perlu untuk mendapatkan kawalan glukosa yang baik selain ada ubat yang boleh membantu melambatkan proses kegagalan buah pinggang," katanya yang menyarankan pesakit berbincang dengan doktor sekiranya ada keraguan berkaitan ubat yang diberikan.

Dalam pada itu, ada juga pesakit diabetes yang tidak melakukan pemantauan bacaan glukosa di rumah seperti yang diarahkan doktor.

Dr Wan Juani berkata, apabila melakuan pemantauan glukosa di rumah, pesakit perlu mengetahui sasaran glukosa sebelum makan pagi iaitu antara 4.0 hingga 7.0 mmol/l dan sasaran glukos dua jam selepas makan iaitu antara 4.4 hingga 8.5 mmol/l.

"Pemantauan glukosa dapat membantu pesakit mengenal pasti makanan yang menyebabkan kenaikan paras gula berlebihan, sekali gus dapat membantu pesakit menjaga pemakanan seharian mereka dengan sebaiknya," katanya.

Kesalahan lain yang turut dilakukan pesakit diabetes adalah mengambil ubat secara berkala, tetapi tidak mengikuti rawatan janji temu doktor.

Sedangkan penyakit itu memerlukan rawatan susulan yang berkala dan pengambilan ubat kencing manis tanpa pemantauan doktor adalah tidak disarankan.

"Jangan alpa dan ikuti rawatan susulan yang diberikan kerana doktor bertanggungjawab untuk membuat perubahan pada ubat pesakit berdasarkan perubahan dinamik semasa, memeriksa pesakit untuk mengenal pasti komplikasi diabetes dan memberikan sokongan moral untuk mencapai kawalan yang optimum.

"Begitupun, selain mendapatkan rawatan di hospital, sokongan keluarga juga penting dalam memastikan kejayaan pesakit untuk mencapai kawalan diabetes yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:45 AM