KAWAL porsi makanan ketika di majlis rumah terbuka.
KAWAL porsi makanan ketika di majlis rumah terbuka.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Ramai mengambil peluang berpuasa pada Ramadan untuk mengurangkan berat badan demi kesihatan tubuh.

Namun, kegembiraan itu hanya seketika kerana berat badan kembali 'melonjak' ketika sambutan Aidilfitri.

Ramai yang mengalami situasi seperti ini kerana 'tewas' dengan keenakan pelbagai juadah hari raya.

Ada yang bersikap tidak mempedulikan mengenai pengambilan jumlah kalori kerana enggan melepaskan peluang menikmati juadah setahun sekali ini.

Pegawai Dietatik Hospital Pakar An-Nur, Nurul Zulaika Habib Rahman berkata, kebanyakan juadah hari raya adalah makanan yang mengandungi tinggi lemak, garam dan gula.

"Seseorang mungkin mengambil makanan yang tinggi kalori tanpa sedar dan boleh menaikkan berat badan.

"Ia bukan sahaja boleh menaikkan berat badan, tetapi boleh mengakibatkan masalah lain seperti gastrik dan kesukaran makanan dihadam,"katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengekalkan berat badan ideal ialah mengambil makanan secara berpada-pada.

AIR manis penyumbang terbesar kenaikan berat badan.
AIR manis penyumbang terbesar kenaikan berat badan.

"Sebaik-baiknya kawal nafsu semasa menyeduk makanan ke pinggan.

"Tidak dinafikan ia satu tindakan yang agak sukar, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan pelbagai hidangan enak di depan mata.

"Tujuannya supaya dapat mengawal pengambilan kalori untuk mengekalkan berat badan ideal,"katanya.

Berdasarkan kajian pakar diet, jumlah kalori yang diperlukan oleh lelaki dewasa adalah 2000 hingga 2500 kalori sehari. Wanita dewasa pula ialah antara 1600 hingga 2000 kalori sehari.

Ditanya mengenai perkara yang dianggap remeh oleh masyarakat, tetapi penyebab kenaikan berat badan semasa Aidilfitri, Nurul Zulaika berkata, ia adalah minuman manis termasuk minuman berkordial dan berkarbonat serta air tin atau kotak.

Jelasnya, ramai tidak menyedari air manis adalah penyumbang terbesar kepada kenaikan berat badan.

"Agak membimbangkan apabila mengambil air manis ketika sarapan, makan tengah hari dan malam.

LEBIHKAN minum air masak.
LEBIHKAN minum air masak.

"Ini kerana kandungan gula dalam minuman ini tinggi kalorinya. Oleh itu, hadkan minuman berkenaan untuk mengelakkan pertambahan kalori tanpa sedar.

"Individu perlu mendisiplinkan diri agar tidak makan secara berlebihan dan mengikut diet yang bersesuaian setiap hari.

"Ambil masa untuk melihat pilihan makanan yang dan membuat pilihan bijak.

"Pastikan makanan ini mengandungi nutrisi lengkap iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral dan serat.

"Semua nutrisi ini sangat diperlukan untuk kesihatan tubuh yang optimum,"katanya.

Menyentuh tip kekal sihat semasa Aidilfitiri Nurul Zulaika berkata, yang pertama ialah memastikan minum air kosong secukupnya iaitu lapan gelas sehari.

"Ini tidak bermakna langsung tidak boleh minum minuman manis, tetapi pengambilannya perlu dikawal.

"Selain itu hendaklah mengambil sumber makanan berserat yang mencukupi.

"Ini kerana serat mempunyai manfaat yang baik kepada kesihatan seperti mengelakkan sembelit, mengurangkan kolesterol dan paras gula dalam darah serta mendapatkan berat badan ideal,"katanya.

ELAK bahagian daging berlemak kerana tinggi lemak tepu.
ELAK bahagian daging berlemak kerana tinggi lemak tepu.

Katanya, tip ketiga ialah mengawal porsi makanan dan sebaiknya mengikut konsep suku-suku separuh seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selain itu, elakkan makan terlalu kenyang kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut.

"Tip keempat adalah memenuhkan pinggan dengan sayur-sayuran sebelum mengambil makanan daripada jenis yang lain.

"Seterusnya elakkan mengambil bahagian daging dan ayam yang berlemak kerana bahagian ini mangandungi lemak tepu tinggi.

"Tip terakhir ialah kurangkan pengambilan kuah pada lauk utama, makanan bersantan dan berminyak,"katanya.

Beliau berkata, tahun ini mungkin ramai mengadakan rumah terbuka yang sebelum ini terhalang dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

"Undangan ke majlis rumah terbuka adalah satu cabaran kepada individu yang sedang berdiet.

"Sebaik-baiknya lakukan perancangan perjalanan supaya boleh mengetahui berapa banyak rumah yang perlu dikunjungi, sekali gus dapat merancang cara penggambilan makanan.

"Seterusnya gunakan pinggan kecil supaya tidak menggambil makanan secara berlebihan.

"Lebihkan berborak supaya tumpuan tidak terarah kepada makanan,"katanya.

Berkenaan individu mengelak mengambil makan malam kerana mahu mengawal berat badan Nurul Zulaikha berkata, ia bukan cara yang betul kerana boleh menyebabkan kita makan terlampau banyak pada waktu siang.

"Oleh itu, ambillah makanan secara berhemah dan jangan makan laju kerana ini boleh menjejaskan kesihatan.

"Jangan nanti orang masih beraya, tetapi kita 'beraya' di hospital akibat makan berlebihan.

"Bukan perjalanan raya sahaja harus dirancang, pemilihan dan penggambilan makanan juga harus dirancang dengan bijak,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 7:00 AM