SANGAT penting pesakit HIV mengambil jumlah kalori dan protein mencukupi.
SANGAT penting pesakit HIV mengambil jumlah kalori dan protein mencukupi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


VIRUS kurang daya tahan penyakit (HIV) adalah jangkitan virus yang memusnahkan sistem pertahanan badan dan meningkatkan risiko jangkitan.

Memetik perkongsian Pegawai Dietetik Hospital Sungai Buloh, Nor Faezah Baba, Norashikin Rekamaruddin dan Suzana Mat Noh dari Hospital Sungai Buloh, pesakit HIV terdedah kepada risiko malnutrisi dan gejala seperti cirit-birit, loya, keletihan, masalah keabnormalan sel lemak badan serta sistem imuniti badan yang rendah.

Pengambilan jumlah kalori dan protein yang mencukupi penting untuk mengekalkan berat badan, menguatkan sistem imun dan mengurangkan gejala berkaitan.

Secara umumnya, keperluan kalori untuk pesakit HIV adalah antara 30 hingga 35 kilokalori (kcal)/kilogram (kg) berat badan.

Saranan pengambilan protein pula adalah 1.2 hingga dua gram (g)/kg berat badan.

Kajian menunjukkan pengambilan kalori dan protein yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan kehilangan berat badan serta kemerosotan otot.

Oleh itu, pesakit perlu mengamalkan pemakanan seimbang yang menggabungkan makronutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak.

Di samping itu, ambil mikronutrien (vitamin dan mineral) mengikut keperluan individu serta mengehadkan pengambilan makanan juga minuman yang tinggi kandungan gula.

i.Sumber Protein

Sumber protein yang baik termasuk semua makanan berasaskan haiwan seperti daging, ikan, ayam, telur dan hasil tenusu.

Legum dan kekacang juga adalah sumber kaya dengan protein tambahan kepada nutrien lain yang diperlukan.

Keperluan protein berlainan mengikut individu, bergantung kepada keadaan pesakit seperti masalah infeksi dan malnutrisi.

ii. Pengambilan Lemak

Pengambilan lemak juga penting bagi pesakit HIV kerana mengandungi kalori yang lebih tinggi dan dapat membantu pesakit mengekalkan berat badan optimum.

Saranan pengambilan lemak adalah kurang 30 peratus daripada jumlah kalori sehari pesakit.

Lemak terdiri daripada lemak tepu dan lemak tidak tepu.

Pengambilan lemak tepu yang berlebihan boleh menyumbang kepada penyakit kardiovaskular terutama serangan jantung dan angin ahmar.

Maka pengambilan lemak tepu perlu dihadkan sebanyak kurang tujuh peratus daripada saranan pengambilan lemak harian.

HIV memusnahkan sistem pertahanan badan.
HIV memusnahkan sistem pertahanan badan.

iii. Pengambilan vitamin dan mineral

Pengambilan vitamin dan mineral yang mencukupi adalah penting bagi mengukuhkan sistem imun pesakit HIV terutama vitamin B, vitamin A, vitamin C, Zink, Selenium dan Zat besi.

Sumber yang kaya dengan vitamin A adalah bayam, lobak merah dan mangga.

Makanan yang tinggi vitamin C adalah jambu batu, betik, oren serta strawberi.

Vitamin B pula boleh didapati daripada telur ayam, daging, kekacang dan makanan bergandum.

Zat besi mudah didapati daripada sayuran berdaun hijau seperti bayam, kailan, kangkung dan pucuk paku) dan sumber protein (seperti ayam, ikan, telur serta daging merah).

Selenium dan zink boleh diperoleh daripada produk gandum, susu dan tenusu serta sumber protein haiwan.

iv.Pengambilan 'oral nutrition supplement' dan protein modular

Pengambilan 'oral nutrition supplement' (ONS) dan protein modular digalakkkan bagi sesetengah pesakit yang kurang atau tidak mampu untuk mencapai keperluan tenaga serta protein harian melalui pemakanan normal.

Terdapat pelbagai pilihan ONS dan protein modular yang berada di pasaran.

Kita disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat Pegawai Dietetik bagi pengambilan ONS yang bersesuaian dengan keperluan individu.

Saranan bagi mencegah penyakit bawaan makanan (Foodborne illness).

Pesakit HIV terdedah kepada risiko penyakit bawaan makanan iaitu cirit-birit, muntah, demam dan seterusnya boleh mengakibatkan keletihan melampau.

Antara saranan yang perlu dititikberatkan bagi mengelakkan gejala itu adalah ialah:

a. Elakkan pengambilan makanan mentah atau separa masak terutama daripada sumber protein. Contoh sushi, telur dan daging separuh masak

b. Mencuci bersih sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum dimakan

c. Pastikan makanan dimasak sempurna

d. Penggunaan papan pemotong berasingan mengikut jenis makanan

e. Sentiasa mengamalkan langkah pencucuian tangan yang betul menggunakan sabun dan air bersih

f. Minum air bertapis/masak dan mencukupi mengikut keperluan

Pengambilan diet yang berkualiti dan seimbang adalah penting untuk mengekalkan berat badan yang optimum.

Ini untuk memastikan fungsi badan yang normal termasuk sistem imun bagi pesakit HIV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 6:18 AM