PENGAMBILAN makanan yang sesuai mampu mengurangkan berat badan.
PENGAMBILAN makanan yang sesuai mampu mengurangkan berat badan.
Muhamaad Razis Ismail


KETIKA berpuasa, sepatutnya berat badan akan turun kerana sudah mengurangkan kekerapan waktu makan.

Dari kebiasaan tiga kali waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam kepada bersahur dan berbuka saja.

Begitu juga dengan snek. Jika sebelum ini akan ada waktu minum pagi, minum petang dan minum malam, namun pada bulan puasa hanya ada sekali sahaja waktu snek iaitu moreh selepas bertarawih.

Bagaimanapun, masih ada yang berdepan masalah berat badan kekal atau bertambah.

Pegawai Sains (Pemakanan), Sektor Obesiti dan Penyakit Tidak Berjangkit, Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Nur Liana Abdul Latiff berkata, walaupun kekerapan waktu makan berkurang, jumlah pengambilan kalori masih sama atau mungkin lebih dari keperluan.

"Saranan keperluan kalori ketika berpuasa masih sama dengan situasi tidak berpuasa iaitu 1500 hingga 2000 kalori sehari bagi dewasa berumur 18-59 tahun.

"Pengambilan kalori yang melebihi saranan itu akan menyebabkan peningkatan berat badan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, banyak faktor yang mendorong perkara ini berlaku termasuk pengambilan makanan dan minuman tinggi gula serta berlemak ketika berbuka puasa dan sebagainya.

Beliau berkata, Ramadan sepatutnya menjadi titik permulaan untuk menyusun semula pola dan tabiat pemakanan yang lebih teratur serta sihat.

"Semoga dengan amalan pemakanan yang sihat ini, kita semua dapat beribadah dengan lebih tenang dan mendapat manfaat kesihatan yang optimum," katanya.

Nur Liana turut berkongsi enam faktor pertambahan berat badan dan panduan untuk menanganinya dengan kaedah lebih sihat.

KESILAPAN memilih makanan mengakibatkan berat badan bertambah.
KESILAPAN memilih makanan mengakibatkan berat badan bertambah.

Faktor

1.Pengambilan makanan dan minuman tinggi gula

Minuman dan kuih manis mengandungi tidak kurang dari 100 kilokalori (kcal) bagi setiap gelas minuman dan sepotong kuih.

Pengambilan makanan dan minuman karbohidrat (terutama gula ringkas) akan menyebabkan rembesan insulin yang mendadak di dalam badan.

Tip

Hadkan makanan dan minuman tinggi gula ketika berbuka, moreh dan bersahur dan utamakan air kosong.

Sebagai pilihan lebih baik, anda boleh mengambil minuman berasaskan gula semula jadi seperti jus buah-buahan segar yang tidak ditambah gula, air kelapa, air tebu, air barli.

Pengambilan kuih ketika berbuka puasa dan moreh pula, pilihan yang lebih sihat adalah buah-buahan segar (contohnya tembikai, mangga, betik dan epal) atau kering (kurma, kismis, aprikot dan lain-lain).

2.Pengambilan makanan tinggi lemak

Pengambilan makanan tinggi kandungan lemak seperti makanan bersantan dan bergoreng juga akan menyebabkan pertambahan berat badan kerana mempunyai nilai kalori yang tinggi.

Sebagai contoh, seekor ikan kembung bakar mengandungi 80 kcal, tetapi jika ikan kembung itu digoreng, jumlah kalori ikan kembung dengan saiz yang sama adalah 120 kcal.

Tip

Utamakan kaedah masakan yang lebih sihat dan rendah kalori seperti bakar, panggang, rebus atau masakan berasakan sup (sup, tomyam, singgang, asam pedas).

3.Makan terlalu banyak ketika bersahur dan bersahur terlalu awal

Bersahur terlalu awal iaitu pada tengah malam akan mendorong rasa 'lapar' yang keterlaluan pada waktu siang dan ini menyebabkan kita akan makan secara berlebihan semasa
berbuka.

Tip

Waktu terbaik untuk bersahur adalah 30 minit sebelum waktu imsak manakala berbuka dengan kadar segera sebaik azan Maghrib. Moreh pula sejurus selepas solat tarawih (jika perlu).

Bagi mengelakkan pengambilan kalori berlebihan, pastikan anda menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia #sukusukuseparuh sebagai panduan.

UTAMAKAN air kosong ketika berbuka puasa.
UTAMAKAN air kosong ketika berbuka puasa.

4.Kurang minum air

Pengambilan air yang kurang akan menyebabkan badan berada pada fasa dehidrasi (kurang air) dan merasa letih. Keletihan
ini akan disalah tafsir oleh otak sebagai 'tidak cukup makan.' Maka, kita akan makan melebihi keperluan ketika berbuka walhal sebenarnya kita hanya dahaga.

Tip

Saranan pengambilan air mengikut Panduan Diet Malaysia 2020 adalah sebanyak enam hingga lapan gelas air sehari. Anda boleh mengagihkan jumlah saranan air itu kepada lima gelas ketika malam dan tiga gelas ketika bersahur. Pastikan anda mengutamakan air kosong.

AMALKAN pemakanan sihat.
AMALKAN pemakanan sihat.

5.Mengunyah makanan dengan cepat

Otak memerlukan masa sekurang-kurangnya 20 minit bagi mendapat isyarat bahawa perut kita sudah kenyang.

Dalam keadaan yang sangat lapar ketika berbuka puasa pastikan anda tidak mengunyah makanan terlalu laju (gelojoh). Ini kerana berkemungkinan anda akan makan melebihi keperluan walaupun sudah kenyang.

Tip

Berbuka dahulu dengan satu sajian buah-buahan dan segelas air bagi memberi tenaga segera kepada badan.

6.Meninggalkan rutin senaman ketika berpuasa

Bagi mereka yang berhasrat untuk menurunkan berat badan, bersenam ketika berpuasa dapat membantu membakar lemak dalam tubuh.

Tip

Saranan waktu senaman terbaik ketika Ramadan adalah satu jam sebelum berbuka dengan durasi senaman 30 minit bagi senaman berintensiti rendah dan sederhana.

Senaman petang pula menghampiri waktu berbuka juga membolehkan pembakaran simpanan lemak tubuh dengan lebih berkesan.

Jadikan juga amalan tarawih sebagai rutin harian selepas berbuka bagi menambah pembakaran tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 7:00 AM