Suliati Asri

YES milik YTL Communications mengumumkan pelan di bawah inisiatif Jaringan PRIHATIN kerajaan bakal membekalkan telefon dan data percuma untuk keluarga dan individu daripada golongan B40 selama satu tahun.

Inisiatif ini terbahagi kepada dua pelan YES PRIHATIN untuk rakyat B40 iaitu YES PRIHATIN Belajar Dari Rumah Keluarga dan YES PRIHATIN Belajar Dari Rumah Individu.

Menariknya, dengan subsidi Jaringan PRIHATIN, kedua-dua pelan ini menyediakan telefon, data serta akses kandungan Learn From Home Yayasan YTL secara percuma dan kesemuanya adalah bagi tempoh satu tahun tanpa sebarang deposit, kontrak mahupun bayaran. 

Image

Pelanggan juga akan menerima baucar Shopee bernilai RM50 untuk pembelian barangan. Kedua-dua pelan ini, kini boleh didapati di www.yes.my/kasiupB40 dan aplikasi MyYes.

Pengumuman daripada YES ini adalah susulan pelancaran program Jaringan PRIHATIN yang menawarkan subsidi tahunan bernilai RM300 dan RM180 untuk keluarga dan individu yang berdaftar di bawah golongan B40 bagi membantu mereka memiliki peranti dan data yang diperlukan. 

Pengarah Urusan YTL Communications Sdn Bhd Dato' Yeoh  Seok  Hong  berkata, pihaknya mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Kerajaan bagi membantu golongan B40.

Justeru, katanya jalinan kerjasama ini membolehkan pihaknya melipatgandakan impak program telefon dan data percuma Learn From Home untuk golongan B40 yang dilaksanakan bersama Yayasan YTL sejak pandemik ini bermula.

"Matlamat kami bukan sahaja untuk penyelesaian jangka pendek, bahkan juga impak jangka masa panjang yang berterusan. 

"Menerusi Pelan 12-bulan YES PRIHATIN Belajar Dari Rumah ini, kami membekalkan keluarga dengan telefon pintar percuma iaitu langkah pertama untuk membolehkan mereka terus berhubung secara digital.

"Kami juga menambahkan data percuma selama setahun untuk membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran, kerja dan pengurusan perniagaan mereka," katanya selepas mengumumkan butiran lanjut mengenai YES PRIHATIN, semalam.

Menurutnya, pelan yang ditawarkan ini adalah tidak mencukupi. 

"Oleh itu, dengan memberi akses penuh ke kandungan Learn-From-Home Yayasan YTL untuk anak-anak mereka, kami juga memastikan pelajar terus berhubung secara digital dengan sekolah dan pembelajaran. 

"Ini sangat penting kerana seluruh negara sekali lagi beralih ke model pengajaran dan pembelajaran atas talian mulai 17 Mei seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan minggu lepas. 

"Akses ini juga memberikan jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka tidak akan tercicir daripada arus pendidikan," katanya. 

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Mac 2020 lagi, YES memperjuangkan keperluan untuk membantu rakyat B40 bermula dengan program Learn From Home Yayasan YTL yang menawarkan kandungan pendidikan dan data secara percuma kepada semua pelajar di sekolah aliran kebangsaan dan juga telefon percuma.

Program itu kemudian diperluas kepada semua mahasiswa Ijazah Sarjana Muda pada Julai 2020 dan seterusnya 230,000 guru di bawah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mulai April tahun ini.

Kandungan program Learn From Home Yayasan YTL merangkumi 1,271 pelajaran untuk empat subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang kesemuanya dibangunkan berpandukan kurikulum kebangsaan dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

Kesemua pelajaran Learn From Home ini juga boleh didapati di laman sesawang Yayasan YTL dan aplikasi FrogPlay Mobile App.

Aplikasi itu juga mengandungi lebih 13,000 kuiz meliputi semua subjek teras menjadikan proses pelajaran dan ulangkaji lebih mudah buat pelajar yang memiliki telefon pintar.

Sejak program Learn From Home dilancarkan pada 2020, Yayasan YTL dengan kerjasama YES dan FrogAsia mengagihkan lebih 18 juta GB data percuma, 450,000 kad SIM dan 100,000 telefon percuma untuk mereka yang memerlukannya.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan YES PRIHATIN, layari yes.my/kasiupB40 atau hubungi 018 3333 303. 

Telefon dan kad SIM YES PRIHATIN akan dihantar secara percuma kepada pemohon yang berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 10:21 AM