YTL Communication lancar YES Kasi UP merapatkan jurang digital golongan B40 - FOTO YTL Communication
YTL Communication lancar YES Kasi UP merapatkan jurang digital golongan B40 - FOTO YTL Communication
Oleh Nurshafika Suhaimi

SELEPAS setahun pelancaran program Belajar Dari Rumah yang menyediakan 40GB data percuma kepada murid di sekolah kerajaan dan telefon percuma untuk pelajar B40, syarikat telekomunikasi YES milik YTL Communications mengumumkan tonggak baru di bawah inisiatif Kasi Up iaitu YES KASI UP B40.

Inisiatif YES KASI UP B40 itu adalah tonggak baru yang menyasar untuk memberikan akses data kepada golongan B40 dan menawarkan 40GB data percuma kepada setiap ahli komuniti B40 yang berdaftar.

Pengarah Urusan YTL Communications Dato' Yeoh Seok Hong berkata, genap setahun pihaknya memberikan data percuma kepada mereka memerlukan dan perjalanan itu bermula dengan
inisiatif Belajar Dari Rumah Yayasan YTL dengan kerjasama YES.

Menurutnya, sasaran ketika itu untuk memastikan semua murid sekolah di Malaysia dapat terus belajar walaupun semasa perintah kawalan pergerakan sedang dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

"Kad SIM YES kami yang didatangkan dengan 40GB data percuma serta akses kandungan pembelajaran yang dibangunkan oleh FrogAsia di dalam platform pembelajarannya.

"Ia sudah membantu lebih 450,000 kanak-kanak di Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 meneruskan pembelajaran di sepanjang tempoh pandemik.

"Kali ini pula, kami memperluaskan inisiatif data percuma ini kepada semua rakyat B40," katanya ketika mengumumkan inisiatif itu.

Dengan pembukaan semula ekonomi dan tekanan yang dialami rakyat akibat kehilangan pekerjaan, kemerosotan pendapatan dan kelembapan aktiviti perniagaan penting untuk kita terus memainkan peranan merapatkan jurang digital.

Katanya, akses kepada data penentu kejayaan dan setiap rakyat Malaysia mesti boleh mendapat akses internet berkelajuan tinggi untuk belajar, bekerja, mengembangkan perniagaan dan membeli barangan keperluan harian.

"Ia satu-satunya cara memastikan Malaysia mencapai potensi sepenuhnya. Pendemokrasian data ini inti pati paling utama inisiatif YES Kasi UP.

"Matlamat YES Kasi Up ialah untuk mencari cara baru dan berinovasi bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutama mereka yang kurang berkemampuan dengan melengkapkan mereka dengan komoditi paling penting hari ini iaitu data.

"Kita hanya boleh menjadi sebuah negara yang inklusif apabila kita menjadikan data boleh diakses serta mampu dimiliki oleh semua dan itulah perkara yang YES ingin lakukan," katanya.

YES Kasi UP B40 tonggak kelima dalam siri inisiatif YES dilancarkan sejak Disember 2020 bagi membolehkan rakyat Malaysia merapatkan jurang digital.

Data berkenaan boleh dituntut di www.yes.my/kasiupB40 atau melalui aplikasi MyYes.

Untuk memohon, golongan B40 dikehendaki memberikan butiran perhubungan mereka di dalam laman sesawang berkenaan bagi membolehkan kad SIM YES dihantar terus ke rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:57 AM