MUFFINS Scars harap diterima peminat Melayu.
MUFFINS Scars harap diterima peminat Melayu.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI masih ada peminat mengenali Ivarn Burge yang pernah menganggotai kumpulan X Factor.

Ivarn meninggalkan kumpulan anak didik KRU yang turut dianggotai Fendi, Zack, Shah dan Danny selepas mengadakan konsert di Brunei.

Dia yang kini dikenali sebagai Hafiz Lim Burge tampil bersama kumpulan Muffin Scars pula sebagai penyanyi bersama Roxus (drum), Kelvyn Yeang (gitar) dan Hoongz (bass).

Ia ditubuhkan pada 2016 oleh Hoongs dan Roxus kemudian disertai Kelvyn dan Hafiz.

Mereka yang berasal dari Pulau Pinang memilih menyampaikan lagu dalam bahasa Melayu.

"Saya sebenarnya tak pernah tinggalkan dunia muzik. Saya menang satu pertandingan nyanyian di Taiwan yang membolehkan saya melahirkan album solo di sana dan China. Namun atas sebab yang tak dapat dielakkan, saya buat keputusan meneruskan projek ini walaupun masih dalam tempoh promosi.

"Saya seterusnya balik ke Malaysia dan sesekali ke Taiwan dan China untuk buat persembahan. Selepas itu, saya ditawarkan sebagai penyanyi Muffin Scars," katanya yang juga pernah membintangi satu filem komedi di Taiwan.

Mereka yang bernaung di bawah Syarikat Rock Life berbangga dapat menghasilkan album berjudul Aspirasi yang memuatkan lagu Sinar, Always Selamanya, Membangkit Semangat, Istimewa dan Aman yang diedarkan Warner Music.

"Akhirnya impian kami untuk mengeluarkan lagu Melayu dapat direalisasikan. Kami rakyat Malaysia dan sudah pasti jadi tanggungjawab kami untuk menyampaikan lagu dalam bahasa Melayu. Lagipun setiap kali ada persembahan di luar negara, sudah pasti kami akan nyanyikan lagu bahasa kita sebab ia menjadikan persembahan kami lebih bermakna. Kadangkala ia juga adalah satu permintaan daripada penganjur di sana," katanya.

Mereka yang memilih konsep 'nu urban rock' pernah menyertai berapa rancangan muzik popular di Taiwan dan sudah mempunyai pengikut serta peminat setia di Taiwan.

Muffin Scars juga pernah tampil dengan dua EP dalam bahasa Cina berjudul Affection yang dilancarkan di Malaysia dan Taiwan, manakala lagu berjudul Hot Soup dilancarkan di Hong Kong.

"Kami meminati Metallica, X Japan, Rage Against the Machine, Rammstein dan OAG. Kami ambil inspirasi dari kumpulan terkenal ini. Bagaimanapun, tidak semestinya bunyi lagu kami seperti mereka. Kami dipengaruhi banyak kumpulan muzik dan dari situ kami dapat ilham untuk mendapatkan bunyi kami tersendiri.

"Apapun kami sedia bersaing dalam industri muzik tempatan secara sihat. Diharapkan Muffins Scars diberi peluang dan mendapat sokongan penggemar muzik," katanya.

Muzik video lagu Sinar dan Always Selamanya sudah dimuat naik di YouTube dan mereka kini menyiapkan muzik video lagu Aman.

Ia juga boleh didapati menerusi semua platform digital seperti Jooks, Sportify, iTunes dan YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 6:17 AM