TEMA kanak-kanak turut diselitkan.
TEMA kanak-kanak turut diselitkan.
PENGUNJUNG melakukan aksi menjemur kain batik di ampaian.
PENGUNJUNG melakukan aksi menjemur kain batik di ampaian.

Berjalan melalui sebuah lorong kedai di bandar Machang, Kelantan, mata tiba-tiba tertumpu pada warna-warni dinding yang terserlah sehingga mematikan langkah untuk meneliti apakah paparannya.

Mengamati secara keseluruhan barulah disedari seluruh dinding yang saling bertentangan di kawasan belakang kedai itu dihiasi catan mural, bukan satu tetapi banyak dengan tema, motif dan pengertian tersendiri.

Tidak kurang 20 mural mewarnai dinding yang dihasil menerusi projek dinamakan Laman Seni Lorong Cek Mek Molek itu.

Ia bukan grafiti atau contengan tidak menentu, sebaliknya paparan lukisan dengan kepelbagaian tema termasuk alam, peristiwa, budaya dan sosial dengan kata-kata kempen serta nasihat.

Mural adalah gambar atau lukisan besar pada dinding, tembok atau permukaan luas yang bersifat kekal. Sementara grafiti lebih menekankan kepada tulisan luahan jiwa.

Melukis mural sampai ke dinding tingkat atas bukan kerja mudah. Mewarna sepenuh dinding pula tidak mungkin kerja seorang.

Beberapa mural di laman itu mempamerkan slogan atau kata-kata kempen antaranya, ‘Keep Clean; Reuse, Reduce, Recycle; Earth does not belong to us, we belong to earth; Justice for all; End the war; MH17 dan MH370’.

Mural pertama atau yang paling tepi dilihat tertera nama Universiti Teknologi MARA (UiTM). Karya itu tampil berbeza menerusi penggunaan objek perabot, iaitu katil dan kerusi saiz sebenar yang digantung pada permukaan dinding dengan latar warna pelbagai, satu-satunya menampilkan gaya sedemikian.

Terdapat juga nama pengkarya seperti Geng Lutut Jerung dengan lukisan berslogan Jom Ganyang Aedes dan ‘The Silent Art’ menyelitkan motif karikatur wayang kulit serta Eira Studio dengan gambaran alam, motif ikan.

Kewujudan mural berkenaan berjaya mengubah landskap belakang kedai berkenaan daripada menyakitkan pandangan menjadi tempat untuk berlama merenung kreativiti lukisan sambil cuba memahami mesej yang hendak disampaikan pelukis.

Pemerhati, Hamdan Hassan, 58 berkata, walaupun kini sudah masuk dua tahun, lakaran mural di kawasan kedai tidak jauh dari Pasar Machang itu masih jelas.

“Sama ada sedar atau tidak, dalam diam-diam ia menarik entah berapa ramai pejalan kaki untuk berhenti mengambil gambar selfie atau berkumpulan. Warna latar yang garang dan ceria menyemarakkan gambar kenangan di sini,” kata sewaktu ditemui di situ.

Menurutnya, bukan saja dinding kedai diberikan paparan corak, bahkan tong sampah yang terhasil menerusi konsep kitar semula daripada besi tong dram yang dipotong dua juga menjadi tarikan apabila permukaan luarnya dilukis.

Di satu dinding lain tertera kata-kata ‘Welcome To Cek Mek Molek Street Art’ dan di sisinya terdapat gambar lencana Sekolah Menengah Kebangsaan Machang 2, sekali gus menjelaskan projek mural itu membabitkan pelajar sekolah berkenaan.

Difahamkan, usaha menukar wajah lorong melalui projek Toyota Eco Youth itu membabitkan lapan pelajar sekolah berkenaan sebagai pelukis utama. Namun secara keseluruhan, lebih 100 orang terbabit menjayakan projek itu termasuk pemilik kedai berdekatan yang turut memberi kerjasama kepada peserta program.

Paling menarik bagi penulis ialah pemandangan wanita tempatan menyidai kain di ampaian, itik belibis terbang bebas di sawah dan gambar tingkap rumah kampung. Ia menjadi sudut terbaik untuk beraksi bagi rakaman gambar kenangan.

Anda boleh menunjukkan lagak seolah-olah sedang menyidai kain bersama wanita dalam gambar itu atau beraksi membuang sampah ke dalam tong di sudut mural Reuse, Reduce, Recycle. - Rashidah Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:34 PM