TEMPOH menyiapkan sesebuah lukisan mural bergantung kepada jenis lukisan dan keluasan dinding.
TEMPOH menyiapkan sesebuah lukisan mural bergantung kepada jenis lukisan dan keluasan dinding.
Muhamaad Razis Ismail


Kebiasaannya lukisan mural dilihat pada dinding sama ada di bahagian luar atau di dalam premis perniagaan untuk menarik perhatian pelanggan.

Dinding yang dihias dengan lukisan mural dengan mengetengahkan pelbagai tema menarik termasuk alam semula jadi, abstrak, figura dan sebagainya sering menjadi tumpuan untuk orang ramai mengambil gambar.

Kini, lukisan mural tidak terhad di premis perniagaan semata-mata, sebaliknya semakin ramai yang menjadikannya sebagai pelengkap hiasan di dalam rumah sama ada di ruang tamu, bilik dan dapur.

Berbanding menggunakan kertas dinding, lukisan mural dapat memberi impak berbeza menerusi motif yang diketengahkan.

Bagi yang mempunyai bakat dan keberanian, lukisan ini yang boleh dihasilkan sendiri. Selain itu, anda juga boleh mengupah pelukis mural yang kini semakin ramai menyediakan perkhidmatan ini.

Salah seorang daripadanya adalah Ramlee Hamzah yang aktif melukis mural sama ada di premis perniagaan, kediaman dan sebagainya di sekitar Kelantan sejak dua tahun lalu.

Awalnya dia bekerja sebagai pelukis pelan sebelum aktif dalam seni lukis. Kini dia mengembangkan bakatnya dengan melukis di dinding.

Ramlee berkata, sebelum ini dia aktif menghasilkan lukisan mempunyai unsur dan susur galur sejarah, keindahan alam semula jadi dan seni budaya Kelantan.

Katanya, pada 2020, dia ingin mencabar diri dan mengembangkan bakatnya dengan menghasilkan lukisan mural di dinding.

"Saya hanya belajar dengan cara melihat teknik melukis mural dan bertanya kaedah serta bahan yang digunakan. Kemudian, saya yakinkan diri dan cuba menghasilkan lukisan mural sehingga ke hari ini.

MENUNTUT ketelitian dan komitmen yang tinggi.
MENUNTUT ketelitian dan komitmen yang tinggi.

"Mural yang dihasilkan sama ada di rumah atau premis perniagaan bergantung kepada permintaan pelanggan termasuk lukisan pemandangan, figura, abstrak, corak, kartun, grafiti, doodle dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, sebelum proses melukis dijalankan, dia akan berbincang dengan pelanggan untuk menentukan kehendak dan konsep diinginkan sebelum lawatan tapak dilakukan.

"Lawatan di tapak amat penting untuk memastikan saiz dinding dan anggaran bahan kerja yang diperlukan dengan mengambil kira lokasi, permukaan dinding serta ketinggian.

"Kemudian sebut harga diberikan sehingga kedua-dua pihak bersetuju. Kemudian lakaran awal dibuat di atas kertas dan apabila pelanggan setuju, kerja melukis mural dijalankan.

"Bermula dengan lakaran di dinding, kemudian proses mewarna dijalankan dengan menggunakan cat sehingga siap," katanya.

Ramlee berkata, tempoh untuk menyiapkan sesebuah lukisan mural bergantung kepada reka bentuk lukisan dan keluasan dinding.

"Lukisan realisme mengambil masa lebih lama kerana ia memerlukan ketelitian berbanding lukisan lain seperti kartun. Biasanya, lukisan boleh disiapkan dalam masa tiga hari dan pernah juga mengambil masa lebih sebulan.

"Dalam menghasilkan lukisan mural, perkara yang perlu dititik beratkan adalah karya yang cantik, unik dan menepati motif yang diinginkan sama ada untuk kempen atau iklan yang mampu menarik minat orang ramai," katanya.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan lukisan mural mempunyai cabaran tersendiri kerana ia membabitkan keselamatan pelukis kerana perlu bekerja di tempat tinggi.

"Selain itu apabila perlu bekerja di luar, cuaca adalah cabaran paling besar perlu dihadapi. Hujan boleh merosakkan cat yang masih belum kering sepenuhnya sehingga menyebabkan proses menyiapkan lukisan mural menjadi lebih lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 6:30 AM