HASZIZAM menjual gulai kawah daging batang pisang.
HASZIZAM menjual gulai kawah daging batang pisang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MELANGKAH masuk ke Pasar Saloma di Kipmall Desa Coalfields, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini menjadikan penulis berasa seolah-olah berada pada zaman 1950-an dan 1960-an.

Apa tidaknya konsep klasik pasar itu dari segi dekorasi, pakaian peniaga dan jualan makanan membuatkan suasana kembali ke era berkenaan.

Sekali gus mengimbau kembali zaman kegemilangan Saloma sebagai penyanyi dan bintang filem yang popular pada tahun itu.

Pengunjung, Zarine Mohamad, 35, berkata, dia mengetahui kewujudan pasar berkenaan menerusi media sosial dan keunikan konsep yang diketengahkan menarik minatnya untuk mengunjungi Pasar Saloma itu.

Menurutnya, dia datang ke pasar itu bersama adik beradik dan rakan-rakannya. Mereka memutuskan memakai pakaian klasik iaitu berkain batik dan baju kurung Kedah bagi bertepatan dengan tema.

"Saya terbaca dalam media sosial yang mana pengunjung Pasar Saloma digalakkan memakai pakaian klasik bagi menghidupkan lagi suasana zaman dulu-dulu.

"Paling saya suka mengenai pasar ini ialah makanan yang dijual adalah kategori jarang jumpa.

"Saya membeli kuih dangai, gulai kawah daging batang pisang, punten dan lempeng kelapa atau pek nga.

"Ini kali pertama saya merasai gulai daging batang pisang dan sebelum ini hanya melihatnya dalam media sosial," katanya.

Pekerja swasta itu berkata, dia seronok mengunjungi pasar itu walaupun terpaksa bersesak kerana pengunjung sangat ramai.

"Saya berpendapat pasar ini perlu dikekalkan kerana mempunyai elemen pendidikan untuk generasi baharu.

"Pasar ini menjadi satu platform kepada mereka mengenali sebahagian warisan Melayu dari segi budaya, tradisi dan makanan tradsional yang terkenal pada zaman nenek moyang," katanya.

Sementara itu, peniaga gulai kawah daging batang pisang Haszizam Ramli, 42, berkata, dia mempelajari cara memasak hidangan itu daripada orang tuanya dan menjualnya di pasar berkenaan kerana mahu memperkenalkan kepada orang ramai.

"Hidangan ini adalah makanan tradisi di Kedah dan Kelantan yang dimasak secara bergotong royong ketika kenduri kahwin.

"Namun begitu, hidangan ini mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung bukan daripada Kedah dan Kelantan," katanya.

Katanya, masakan gulai ini seakan kuah kari yang dimasak bersama daging lembu dan kelainannya pada batang pisang.

"Memasak hidangan ini tidak rumit tetapi kesukarannya adalah untuk mendapatkan batang pisang.

"Saya membeli batang pisang ini daripada penduduk kampung di Paya Jaras, Sungai Buloh," katanya.

Manakala peniaga makanan tradisional punten Ahmad Zaki Ahmad Ibrahim, 40, pula berkata, punten adalah makanan tradisi orang Jawa untuk sarapan pagi yang dicicah dengan sambal hijau bilis.

"Saya mempelajari cara membuat punten daripada rakan yang berketurunan Jawa. Proses pembuatannya juga tidak rumit dan menggunakan bahan asas seperti beras, santan dan garam.

"Kemudian nasi ini ditumbuk hingga lembut dan dibentukkan bujur mengikut saiz disukai.

"Kebelakangan ini punten menjadi tular dan ianya membantu sambutan jualan menggalakkan," katanya.

Pengurus Pasar Saloma Keydeen Ahmad, 41, berkata, perintis pasar itu adalah di utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang sudah diadakan dua tahun lalu.

Menurutnya, masyarakat utara sudah sinonim dengan konsep perkampungan Melayu klasik dan mahu memperluaskannya ke Lembah Klang.

"Kami sudah mengadakan Pasar Saloma di empat lokasi di Lembah Klang bermula awal tahun ini iaitu Setapak, Kuala Lumpur, Bandar Kinrara, Puchong (Selangor), Subang (Selangor) dan Desa Coalfields, Sungai Buloh (Selangor).

"Pemilihan konsep ini kerana mahu menggamit nostalgia klasik 60-an dan mengembalikan kegemilangan zaman dahulu.

"Ini kerana biduanita negara (Saloma) itu cukup dikenali dan popular pada era berkenaan," katanya.

Katanya, terdapat 140 gerai menjual pelbagai jenis makanan Melayu klasik yang dijual dengan harga berpatutan.

"Penganjuran selama empat hari di Sungai Buloh ini dipercayai menarik kehadiran 30,000 pengunjung.

"Sambutan pengunjung di Lembah Klang sangat luar biasa kerana kuasa membeli mereka lebih tinggi berbanding di utara,"katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa elemen tambahan untuk memeriahkan Pasar Saloma iaitu permainan sukan rakyat, kugiran dan sketsa P Ramlee.

"Dekorasi setiap gerai adalah berbeza mengikut kreativiti peniaga tetapi mengekalkan konsep 60-an.

"Nama gerai dan menu jualan ditulis dengan tulisan jawi dan ejaan Melayu klasik.

"Saya mengambil masa selama empat bulan untuk merealisasikan penganjuran Pasar Saloma dan berharap ianya dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 7:00 AM