Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

[email protected].

Keenakan gulai daging umbut pisang yang dimasak di dalam kawah menjadi 'trademark' bagi penduduk di Baling, Kedah malah ia antara masakan popular di utara Semenanjung dan hanya ditemui ketika majlis kenduri kahwin.

Keistimewaan dan keunikan gulai kawah itu menjadi menu terhangat di Restoran Mid Gulai Kawah di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.

Lebih menarik, pelanggan boleh menceduk sendiri gulai daripada dua kawah yang disediakan.

Pengurusnya, Abdul Hamid Mukhtar, berkata hidangan istimewa itu yang disajikan khas dalam dua kawah disediakan khas buat penggemar gulai daging umbut pisang yang dapat menikmati rasa dan suasana seumpama menjamu selera di majlis kenduri kahwin.

"Jika ingin menikmati resipi warisan sejati dari Baling, singgah dan cubalah merasai keenakan yang hanya terdapat di restoran ini. Bak kata orang utara 'sekali cuba, pasti nak lagi'. Gulai daging yang disediakan dalam dua kawah serta konsep layan diri memudahkan mencedok terus dari kawah mengikut kehendak mereka.

"Saya percaya, apa yang membuatkan pelanggan datang semula selepas kali pertama merasainya adalah dagingnya yang empuk bersama umbut pisang manis.

"Ini yang membuatkan gulai kawah ini menjadi sebutan malah beberapa artis seperti Mawi dan Kaza pernah mencuba," katanya yang melakukan kerja sampingan sebagai pelakon tambahan dalam beberapa teater seperti Sesuci Cinta Sofia dan 29 Februari.

Dia mempelajari ilmu masakan daripada bapanya yang juga anak jati Baling dan berpegang teguh kepada prinsip mengekalkan keenakan dan kesegaran lauk-pauk supaya memberi lebih kepuasan kepada pelanggan.

"Gulai daging umbut pisang ini resipi warisan bapa saya yang dulu banyak menerima tempahan memasak di majlis kenduri.

"Aroma gulai yang dipanaskan dalam dua kawah dengan kuah kelihatan membuak menambahkan selera pelanggan dinikmati bersama sambal belacan serta tempoyak asli selain petai jeruk," katanya.

Dia mendapat bekalan umbut pisang dari Baling dan menggunakan 300 kilogram (kg) dalam masakan gulai daging itu.

Paling penting, katanya, semangkuk besar gulai kawah daging umbut pisang itu dijual pada harga berpatutan bermula RM10 bergantung kepada jumlah isi yang diambil pelanggan.

Selain itu, ikan bakar dan siput sedut turut menjadi pilihan selain pelbagai lagi masakan selera kampung.

Perniagaannya bermula dari jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang dan ditutup setiap Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 6:00 AM