NASI, ikan masin, sambal tumis goreng, gulai, hidangan lengkap nasi buluh.
NASI, ikan masin, sambal tumis goreng, gulai, hidangan lengkap nasi buluh.

Nasi yang dicampur dengan herba terpilih dibalut dengan daun pisang sebelum dikukus di dalam buluh. Disajikan pula dengan sambal tumis Jawa, ikan masin, sambal belacan dan kuah gulai.

Ternyata, ia hidangan cukup menyelerakan kerana aroma segar daun pisang dan rasa herba yang sebati di dalam nasi boleh mengecurkan air liur.

Jika mahukan lauk-pauk tambahan, gulai kambing, sambal udang, ikan, ayam dan banyak lagi juadah boleh dipilih.

Ingin menikmati hidangan istimewa ini? Restoran Nasi Buloh di Kampung Sungai Leman, Sekinchan, Selangor adalah lokasinya.

Beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang, restoran yang mula beroperasi beberapa bulan lalu ini menyediakan hidangan berbeza daripada kebiasaan.

Pengasasnya, Cef Halim Mahali, 50, berkata, makanan tradisional terutama dalam masyarakat Jawa memanga banyak dijual di sekitar Kuala Selangor hinggalah ke Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Justeru, dengan pengalaman dalam bidang makanan dan minuman, Halim mencari kelainan dengan menghidangkan menu nasi buluh yang makin mendapat sambutan.

“Tempat lain juga ada nasi buluh tetapi di sini ada kelainan dan versi tersendiri.

“Nasi ini bukan saja dikukus di dalam buluh, malah dicampur dengan herba terpilih sebelum dibalut dengan daun pisang bagi mencetuskan aroma yang menyelerakan.

“Dengan kombinasi daun pisang dan herba dengan nasi bukan saja mengenyangkan, malah juga baik untuk kesihatan,” katanya.

Set hidangan nasi buluh termasuk kuah gulai, ikan masin, sambal belacan, tumis kering atau sambal Jawa cuma berharga RM3.

“Kebiasaannya sambal tumis Jawa digoreng. Di sini, ia juga digoreng tetapi selepas itu dibalut dengan daun pisang dan dikukus di dalam buluh.

“Resipinya tetap sama tapi apabila dibalut dengan daun pisang dan dikukus di dalam buluh, aroma serta rasanya lebih enak,” katanya.

Pelbagai lauk-pauk seperti gulai kambing, sambal udang, sayuran, ikan tilapia masak kencur dan banyak lagi tersedia buat pelanggan yang inginkan lauk tambahan ketika menikmati nasi buluh.

“Selain nasi buluh, kami juga menyediakan pelbagai makanan lain seperti soto, pecal dan terbaru ikan bakar.

“Menariknya di sini kami akan memberikan ikan yang siap dengan bahan serta dibalut dengan daun pisang dan pelanggan sendiri akan membakarnya.

“Jadi, pelanggan boleh menikmati keenakan ikan bakar itu ketika panas,” katanya.

Untuk pencuci mulut, air kelapa muda leleh sesuatu yang tidak boleh dilepaskan. Ia bagaikan air batu campur (ABC) tetapi yang menjadikannya istimewa ialah mangkuknya ialah kelapa muda beserta isinya.

Bagi yang ingin mencari kelainan saat menjamu selera, kunjungan ke Restoran Nasi Buloh pasti tidak akan mengecewakan. -Suliati Asri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 1:31 PM